Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kajian: 30 peratus responden tak ada pendapatan semasa PKP

Satu kaji selidik dalam talian oleh Cent GPS Research mendapati bahawa 30 peratus responden tidak mempunyai apa-apa pendapatan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga menunjukkan bahawa kebanyakan mereka boleh menyesuaikan diri dengan dua fasa pertama PKP tetapi kesejahteraan kewangan mereka mungkin akan terjejas jika PKP dilanjutkan.

Kaji selidik ini dilakukan semasa fasa satu dan fasa dua PKP bagi mengetahui keadaan kewangan isi rumah Malaysia dan corak perbelanjaan mereka.

Lebih kurang 733 responden terlibat dalam kaji selidik itu, yang terdiri daripada 54.3 peratus perempuan, 43.5 peratus lelaki dan baki 2.2 peratus tidak dikenalpasti.

Menurut satu kenyataan daripada Cent GPS Research, hampir 30 peratus daripada responden mengakui kewangan mereka hanya boleh bertahan selama sebulan sahaja, dengan 44 peratus lagi menyatakan mempunyai simpanan yang akan berakhir di antara satu hingga tiga bulan.

"Oleh itu, 74 peratus daripada responden tidak mampu bertahan sehingga melebihi empat bulan. Ini menjadi cabaran kepada kerajaan untuk menggiatkan semula ekonomi, bagi membolehkan perniagaan dan individu mempunyai keupayaan untuk memulihkan aliran tunai mereka selepas PKP," katanya.

Walaupun banyak pihak mengulas mengenai cabaran yang perlu ditangani perniagaan bagi memulihkan operasi mereka, Cent GPS berkata masalah itu mungkin terletak dalam pasaran itu sendiri memandangkan orang akan mengurangkan perbelanjaan selepas PKP untuk menstabilkan simpanan mereka.

"Dengan pengurangan pendapatan isi rumah, serta mereka yang tanpa sebarang pendapatan semasa PKP termasuk mereka yang cuba menambah simpanan mereka kembali, orang ramai sedang berharap kepada kerajaan untuk menyediakan mereka dengan beberapa bentuk rangsangan.

"Mengikut kaji selidik kami, 86 peratus responden bersetuju bahawa PKP adalah perlu. Selain itu, jangkaan terhadap kerajaan adalah sangat tinggi, walaupun kaji selidik ini dibuat pada fasa awal PKP, kerajaan menerima 70 peratus respons yang positif bahawa pemerintah boleh memulihkan semula ekonomi dan jangkaan ini agak ketara," tambahnya lagi.

Katanya, oleh itu, satu pelan yang jelas, ringkas dan terperinci perlu digunakan untuk sepanjang bulan selepas PKP bagi pemulihan ekonomi Malaysia termasuk mengukuhkan kembali keyakinan industri, perniagaan dan pengguna.

"Satu lagi penemuan kami yang agak menarik daripada kaji selidik itu ialah mereka yang membeli-belah dalam talian, merekodkan angka yang sama di kalangan mereka yang tinggal di dalam dan di luar Lembah Klang, malahan Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah yang agak besar.

"Mungkin yang bagusnya, PKP sebenarnya telah menjadi pemangkin kepada pengguna Malaysia untuk menerima pakai amalan dalam talian terutama yang berkaitan dengan perolehan barangan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS