Paling Popular
Terkini

Sidang Dewan Rakyat akan datang, kata Anwar Ibrahim, memang tidak wajar sama sekali dilangsungkan hanya sehari ketika pelbagai sektor ekonomi diberikan kelonggaran beroperasi.

Katanya, jika isu ancaman Covid-19 menjadi kebimbangan sidang tersebut boleh dilakukan secara maya.

"Boleh buat, soalnya nak buat atau tidak.

"Seperti saya sebut (sebelum ini), main golf boleh, kedai judi boleh buka, banyak lagi kemudahan, macam-macam. Tapi Parlimen tak boleh bersidang," kata presiden PKR itu dalam siaran langsung yang dipancarkan melalui Facebook, hari ini.

Dewan Rakyat dijadual bersidang pada 18 Mei ini. Ia adalah sidang pertama selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan Umno, PAS dan BN.

Beliau kemudian dilantik menjadi perdana menteri.

Mereka kemudian membentuk kerajaan Perikatan Nasional - sebuah gabungan yang dinyatakan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, sebagai entiti tidak berdaftar.

Pengkritik mendakwa sidang itu dihadkan selama sehari saja kerana Muhyiddin bimbang ada usul tidak percaya dikemukakan terhadapnya.

Terdahulu Anwar ditanya mengenai kesesuaian sidang parlimen diadakan secara dalam talian seperti dilakukan Maldives - satu daripada negara terkecil di dunia - pada 15 April lalu.

Menurut Anwar di sebalik pelbagai cara boleh dilakukan untuk sidang itu berjalan kerajaan tetap mengekalkan keputusan mereka iaitu selama satu hari saja.

"Ada sidang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, kemudian tangguh, baca rang undang-undang kali pertama dan tutup. Soal jawab tak ada, perbahasan (tak ada).

"Ini parlimen apa ini? Parlimen burung? Maknanya... tak ada soal jawab. Alasan Covid-19. Sebab itu kita bantah, kena ada sidang seperti biasa, penjarakan sosial mesti dihormati, beberapa langkah kesihatan mesti diwaspadai tetapi sidang mesti berjalan," tegasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS