Usahawan sarung tangan Malaysia bakal bergelar 'billionaire'
Beberapa lagi usahawan Malaysia bakal bergelar “billionaire”.
Ketika ramai ahli perniagaan termasuk mereka yang bergelar jutawan bergelut semasa penularan Covid-19 yang hampir meranapkan ekonomi dunia, beberapa syarikat pembuat sarung tangan getah dilaporkan meraih keuntungan besar susulan permintaan yang melonjak.
Antaranya adalah syarikat Kossan Rubber Industries Bhd, yang tahun ini sahaja telah mengeluarkan 28 bilion sarung tangan getah pakai buang.
Menurut laporan Bloomberg, saham Kossan Rubber Industries melonjak 35 peratus tahun ini apabila permintaan terhadap peralatan perubatan meningkat dari Shanghai hingga San Franciso.
Justeru, menurut laporan itu, tokoh perniagaan Malaysia, Lim Kuang Sia, yang memiliki 50 peratus Kossan Rubber Industries bersama keluarga, semakin menghampiri AS$1 bilion, dengan nilai kepentingannya kini melebihi AS$800 juta.
Lim walau bagaimanapun enggan mengulas mengenai berita berkenaan.
Bloomberg memetik RHB Research Institute yang melaporkan Kossan Rubber Industries menyaksikan permintaan sarung tangan getahnya melonjak sejak Februari, bermula dengan penghantaran ke China.
Ini disusuli tempahan dari Amerika Syarikat dan Eropah, yang membantu syarikat memperoleh kontrak sehingga sekurang-kurangnya September ini.
"Meskipun pandemik reda, perolehan Kossan Rubber masih akan berkembang sejajar pertumbuhan penggunaan sarung tangan pada lapan hingga 10 peratus setahun," kata penganalisis, Alan Lim, dalam laporan itu.
Pengeluar lain di Malaysia, yang mengeluarkan kira-kira 65 peratus bekalan satung tangan getah dunia, juga melonjak.
Saham pengeluar terbesar dunia, Top Glove Corp meningkat 51 peratus tahun ini, mengukuhkan nilai kekayaan pengasasnya, Lim Wee Chai kepada lebih AS$1 bilion, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.

