60 kes positif Covid-19 dari kluster pekerja kilang di Pedas setakat ini
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat ini sebanyak 60 kes positif Covid-19 telah dikenal pasti daripada kluster pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mula membuat ujian saringan untuk kluster itu apabila seorang pekerja kilang didapati menunjukkan gejala jangkitan wabak pada 5 April lalu, dan didapati positif seminggu kemudian.
"Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rakap kakitangan tersebut telah dijalankan. Sehingga hari ini, seramai 786 orang yang terdiri daripad pekerja dan ahli keluarga telah disaring.
"Daripada jumlah itu, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan siasatan," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata kes positif itu melibatkan 53 warga asing dan tujuh warga tempatan.
"Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Noor Hisham berpesan agar kalangan yang telah kembali bekerja dan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas untuk tidak pergi bertugas, sebaliknya segera mendapatkan rawatan.
"Bagi memelihara kebajikan pekerja dan persekitaran tempat kerja yang selamat, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah menyediakan Panduan Mengendalikan Isu-Isu Berhubung Wabak Berjangkit Termasuk Novel Coronavirus Di Tempat Kerja yang telah dimasukkan ke dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020," katanya.
Berkenaan majikan untuk perkhidmatan penting pula, beliau berkata mereka perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah diumumkan, antaranya memeriksa suhu badan pekerja, melaksanakan proses disinfeksi secara kerap dan memastikan penjarakan sosial diamalkan di kalangan pekerja.
Majikan juga perlu membenarkan pekerja mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan membenarkan cuti sakit bergaji bagi pekerja yang menunjukkan gejala jangkitan, katanya lagi.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

