Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker: Hanya media k'jaan dibenarkan buat liputan sidang parlimen 18 Mei

Hanya organisasi media milik kerajaan dibenarkan memasuki bangunan Parlimen bagi membuat liputan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Perkara itu disahkan oleh Speaker Mohamad Ariff Md Yusof kepada Malaysiakini petang ini.

"Hanya media kerajaan akan dibenarkan," katanya ketika dihubungi.

Arahan itu terpakai untuk petugas media sama ada di dalam mahupun di luar ruang Dewan Rakyat.

Menurut Ariff, wabak 'Covid-19' adalah sebab mengapa keputusan itu diambil, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata persidangan itu akan disiarkan secara langsung.

Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata akses media ke persidangan itu hanya akan dihadkan kepada RTM dan Bernama di bawah arahan Ariff.

Persidangan pada 18 Mei ini merupakan kali pertama diadakan sejak 'Langkah Sheraton' yang mencetuskan perubahan kerajaan dari Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Kerajaan merancang untuk membentangkan empat usul dan dua rang undang-undang semasa persidangan selama sehari itu.

PH menuntut agar persidangan itu dilanjutkan namun kerajaan PN berpendapat ia boleh menimbulkan risiko penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memfailkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Takiyuddin hari ini berkata hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam persidangan itu dan ini mungkin akan menyebabkan usul anggota parlimen Langkawi tidak akan terlaksana.

Lihat Komen
ADS