Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit ujian Covid-19 buatan syarikat Malaysia lulus di EU
Diterbitkan:  May 8, 2020 9:57 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Dua kit ujian Covid-19 yang dihasilkan sebuah syarikat Malaysia mendapat kelulusan untuk dijual di Kesatuan Eropah (EU).

Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven) berkata, kit ujian ‘GenoAmp Real-Time RT PCR SARS-CoV-2’ keluarannya menggunakan teknik reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) bagi mengesan virus yang menyebabkan Covid-19 berkenaan.

Ia mengenal pasti virus SARS-CoV-2 menerusi tiga penanda genetik dalam genom virus tersebut yang kurang kecenderungan untuk bermutasi.

"Kit ini direka khusus untuk menumpukan pada kawasan terselindung gen-gen ini.

"Dengan menumpukan kepada tiga gen berlainan, ia meningkatkan kepekaan ujian dalam mengesan SARS-CoV-2, kerana sekiranya virus itu bermutasi, kebarangkalian untuk ketiga-tiga (gen) tumpuan tersebut untuk bermutasi adalah rendah," kata Nicole Tang saintis yang membangunkan ujian tersebut dalam satu kenyataan oleh syarikat berkenaan hari ini.

Sebelum ini, pada 18 Mac, syarikat itu mengumumkan mengenai kejayaan membangunkan kit berkenaan, dengan menggunakan dana kerajaan yang disalurkan melalui Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Syarikat itu menawarkan dua jenis kit ujian yang boleh mengesan virus berkenaan.

Satu jenis kit itu dapat mengesan virus berkenaan sahaja, manakala satu jenis lagi turut boleh digunakan untuk menyaring penyakit influenza dan penyakit seperti influenza (ILI) yang lain.

Menurut pengarah operasi Mediven Lim Li Sze, kit itu siap untuk digunakan serta menjimatkan masa dari enam jam ke tiga jam, memandangkan ia mempunyai reagen (bahan uji) yang hadir dalam bentuk siap bancuh.

Dakwa syarikat itu lagi, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menguji kit-kit berkenaan dan mendapati prestasinya setanding dengan set piawai yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit AS.

IMR sebelum ini membangunkan kit ujiannya sendiri pada 11 Januari, iaitu hari sama saintis di China menerbitkan maklumat yang diperlukan berkenaan urutan genetik virus itu.

Baik IMR atau Mediven, kedua-duanya setakat ini belum mendedahkan data ujian berkenaan kepada umum.

Lihat Komen
ADS