Kerajaan akan mendedahkan kod sumber atau kod program bagi aplikasi MyTrace tidak lama lagi bagi mengatasi kebimbangan mengenai soal privasi, kata Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini akan membolehkan mereka yang celik teknologi mengesahkan jaminan kerajaan mengenai perlindungan privasi, katanya dalam satu temu bual disiarkan di radio BFM semalam.

"Kami akan menerbitkan kod sumber supaya ia akan dibuka kepada orang ramai melihat bagi memastikan kita tidak menyimpan nama anda, geolokasi anda, jadi kami mahu setelus yang mungkin mengenai hal ini.

"Jadi, kita harus segera menerbitkannya, agar sekurang-kurangnya mereka yang cenderung secara teknikal dapat memastikan bahawa kod-kod itu akan mengesahkan apa yang saya katakan," katanya semasa segmen "Edisi Petang" dengan stesen radio berkenaan.

Semasa siaran itu, hos Lee Chwi Lynn memaklumkan Khairy bahawa stesen radio berkenaan pada sebelah pagi menanyakan orang ramai sama ada mereka akan menggunakan aplikasi tersebut, dan lebih separuh daripada responden menyatakan tidak akan menggunakannnyan kerana kebimbangan terhadap isu privasi.

Khairy berulang kali meyakinkan bahawa aplikasi itu hanya menyimpan log yang dirahsiakan (anonymized) dari peranti lain yang menggunakan aplikasi berdekatan - kira-kira sepuluh meter atau kurang, dan dalam jangka masa tertentu.

Log berkenaan disimpan di telefon pengguna dan bukannya pelayan berpusat.

Sekiranya pengguna dikesan positif Covid-19, pegawai Kementerian Kesihatan perlu mendapatkan persetujuan semasa temubual pengesanan kontak untuk mengakses data.

Sekiranya pengguna bersetuju, pegawai kesihatan kemudian boleh menghubungi kontak rapat yang berpotensi dan meminta mereka membuat pemeriksaan sendiri, atau menjalani ujian Covid-19.

Dalam temu bual sebelum ini, Khairy berkata, data berkenaan hanya disimpan selama 21 hari.

Bagi telefon Android, menteri itu berkata aplikasi berkenaan tidak meminta akses data lokasi, namun ia hanyalah untuk telefon Android dan memerlukan akses untuk fungsi Bluetooth.

Data lokasi tidak akan disimpan walaupun aplikasi itu mempunyai akses kepada maklumat berkenaan, katanya.

Aplikasi ini juga akan disediakan pada peranti iOS tidak lama lagi, yang hanya memerlukan kebenaran untuk menggunakan fungsi Bluetooth bagi beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau berkata aplikasi itu perlu disimpan dalam 'foreground' untuk berfungsi, dan akan berhenti apabila pengguna beralih kepada aplikasi lain. 

Beliau berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan Apple untuk menyelesaikan perkara itu.

Menjawab satu soalan, Khairy berkata beliau membuat keputusan untuk menentang aplikasi itu diwajibkan kepada rakyat Malaysia kerana ia akan lebih menghakis kepercayaan pengguna terhadap isu privasi.

Sebaliknya, beliau berharap rakyat Malaysia akan menyumbang kepada usaha pengesanan kontak secara sukarela, yang beliau percaya akan membawa kepada kadar penerimaan yang lebih baik terhadap aplikasi berkenaan.

Kementerian Kesihatan berharap sekurang-kurangnya 60 peratus daripada pengguna telefon bimbit akan menggunakan aplikasi tersebut.

"Jaminan yang saya mahu beri kepada rakyat Malaysia ialah kita tidak mengumpul sebarang data yang mengenal pasti nama anda.

"Ia adalah 'anonymised', disimpan pada telefon anda dan telefon orang yang menggunakan MyTrace, dan hanya boleh diakses dengan kebenaran anda supaya kami boleh menghantar mesej kepada orang di sekeliling anda sekiranya anda diuji positif Covid-19," katanya yang berharap lebih ramai orang memuat turun aplikasi berkenaan.

Pada Rabu lalu, aktivis Jac SM Kee turut membangkitkan isu kebimbangan privasi terhadap aplikasi berkenaan yang mempunyai fungsi pengesanan kontak.

Beliau berkata rakyat Malaysia mempunyai perlindungan sedikit dari segi undang-undang untuk mencegah penyalahgunaan data mereka, dan dasar pengekalan data aplikasi Gerak Malaysia selama enam bulan selepas berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah terlalu panjang.

Tidak seperti MyTrace, Gerak Malaysia adalah berpusat dan mengumpul data lokasi.