Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Giliran Muhyiddin catur langkah isu usul tak percaya

Pemerhati parlimen Ong Ooi Heng percaya kini giliran Muhyiddin Yassin untuk memutuskan langkah seterusnya susulan pengumuman oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berhubung usul tidak percaya terhadap perdana menteri itu yang difailkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Ong berkata bahawa usul tidak percaya pasti akan disenaraikan dalam Kertas Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang parlimen satu hari yang akan diadakan pada 18 Mei.

Namun, agenda Kertas Aturan Urusan Mesyuarat itu akan diputuskan oleh Muhyiddin sebagai Ketua Dewan sendiri.

Maka, usul Mahathir mungkin tidak akan dibahaskan di parlimen kerana ia adalah usul ahli persendirian, kata Ong ketika dihubungi Malaysiakini.

Ong yang juga bekas ketua penyelaras Majlis Backbenchers (BBC) mengatakan bahawa kemungkinan mengemukakan usul persendirian sangat bergantung pada kehendak Ketua Dewan.

Menurut Ong, dua senario mungkin berlaku.“Pertama, jika Muhyiddin tidak berniat untuk menangani perkara ini, maka kerajaan mungkin mengakhiri persidangan parlimen setelah mereka menyelesaikan perkara berkaitan kerajaan.

"Kedua, jika beliau ingin mengemukakan perkara itu, beliau boleh menetapkan usul itu dibentangkan sebelum atau sesudah perkara berkaitan kerajaan.

“Oleh itu, isu utamanya sekarang ialah apakah Muhyiddin bersedia untuk menangani sokongan (undi) di Parlimen. Sekiranya tidak, beliau pasti akan mengenepikan usul itu," kata Ong.

Menurut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen akan mengutamakan urusan kerajaan semasa persidangan sebelum menyentuh isu lain.

Semalam, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan juga menekankan bahawa hanya urusan kerajaan yang akan diutamakan dalam persidangan satu hari itu.

Bagaimanapun, Ong percaya bahawa Muhyiddin bersedia berdepan ujian itu kerana beliau dilaporkan akan menemui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa ketiga-tiga mereka dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan beberapa perkara terutama berkaitan dengan persidangan parlimen.

“Beliau (Muhyiddin) memilih untuk bertemu dengan mereka (Zahid dan Abdul Hadi) sebelum persidangan. Saya rasa beliau sudah bersedia berdepan usul itu.

"Jika beliau dapat sokongan daripada mereka, saya rasa beliau akan berdepan dengan usul itu," kata Ong.

Jelas Ong, sekiranya Dewan Rakyat meneruskan undian usul tidak percaya itu, ia akan mengesahkan kedudukan Muhyiddin dan kerajaannya, selaian secara teorinya akan memastikan tempoh memegang jawatan hingga pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi jika beliau gagal (menang undian), beliau harus mengadap Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin dan meletakkan jawatan.

"Beliau juga boleh menyarankan pembubaran Parlimen dan ini akan menyebabkan pilihan raya umum (awal)," kata Ong.

 

Namun, kata Ong, sekiranya Agong tidak setuju dengan pembubaran parlimen, maka pembangkang berpeluang membentuk kerajaan dan mencalonkan perdana menteri baru.

Menurut Ong, terdapat tiga entiti yang memutuskan pembentukan kerajaan baru - parti politik, Agong dan Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai usul tergempat untuk memutuskan sama ada akan melanjutkan sidang parlimen pada 18 Mei hingga lapan hari, Ooi menegaskan bahawa perkara itu harus dibincangkan pada hari yang sama.

"Sekiranya semua orang bersetuju mengenai hal ini, persidangan parlimen akan berlangsung selama dua minggu, iaitu empat hari seminggu," kata Ong yang juga merupakan kolumnis Malaysiakini versi bahasa Cina.

Pada pandangan Ooi, usul yang dikemukakan oleh Mahathir, Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Kong dan Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal adalah tindakan kolektif yang dirancang dengan teliti.

"Itulah sebabnya speaker menangani usul secara serentak dan hanya menerima usul tidak percaya," jelasnya.

Semalam, Ariff mengumumkan bahawa beliau telah menerima usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan oleh Mahathir.

Bagaimanapun, tidak diketahui tarikh usul itu akan dibentangkan.

Sementara itu, wakil Ariff, Mohd Rashid Hasnon memberitahu Malaysiakini bahawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak akan dibahaskan dalam persidangan 18 Mei.

"Usul itu diterima tetapi (tidak akan dibahaskan) pada 18 Mei," katanya ketika dihubungi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS