Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan hari ini tidak sah, tegas Mahathir dan Anwar
Diterbitkan:  May 9, 2020 3:29 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi bayangan akan bekerjasama sekali lagi dalam arena politik negara.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak sah kerana dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena memperingati ulangtahun kedua kemenangan PH dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin politik itu berkata kini masanya telah tiba agar mandat berkenaan 'dikembalikan kepada pihak yang sepatutnya'.

"Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

"Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata," kata kenyataan tersebut.

Menurut kedua-dua pemimpin itu lagi, mereka tidak sanggup "menggadaikan moral dan etika" untuk menyokong kerajaan hari ini.

"Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

"Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya," tegas kedua-dua pemimpin itu.

Pada pilihan raya umum 2018, PH mencipta sejarah apabila menumbangkan kerajaan BN pimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Namun, kerajaan baru yang dipimpin Mahathir itu hanya mampu bertahan selama 21 bulan selepas beliau meletakkan jawatan pada Feb lalu.

Ia susulan kemelut yang berpunca daripada tindakan pemimpin-pemimpin politik berkumpul di sebuah hotel di Petaling Jaya bagi membentuk gabungan sebuah kerajaan baru.

Bersama-sama bekas pemimpin PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali, Muhyiddin membentuk kerajaan dengan kerjasama pemimpin BN, PAS dan GPS.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan penyokong Mahathir dan Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

"Semangat perjuangan kami masih marak'

Mahathir dan Anwar yang pernah menjadi seteru politik berkata, mereka telah mengepikan perbezaan peribadi demi membawa suara rakyat dan kemenangan kepada PH dua tahun lalu.

"Dua tahun lepas kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat.

"Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

"Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia baru," tegas kedua-dua pemimpin itu.

Pada 7 Mei lalu, Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi dilapor memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menjelaskan usul itu dijangka tidak akan dibahaskan pada sidang parlimen 18 Mei ini memandangkan mesyuarat Dewan Rakyat hanya akan membicangkan usul kerajaan dan rang undang-undang.

Lihat Komen
ADS