Covid-19: 54 kes baru, satu kematian
Sebanyak 54 kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah hari ini, dengan 53 daripadanya adalah jangkitan tempatan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 6,589, dengan 1,552 kes masih aktif.
Seorang lagi korban baru dilaporkan dalam tempoh tiga hari, menjadikan jumlah kematian kini seramai 108 orang.
Seramai 65 lagi pesakit sembuh, dengan jumlah keseluruhan kini seramai 4,929 orang.
Kes kematian terbaru itu merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid.
Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia semalam.
Sementara itu, KKM berkata daripada 54 kes baru dilaporkan hari ini, sebanyak 28 kes baru dikaitkan dengan kluster Pedas di Rembau, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 bagi kluster tersebut meningkat sebanyak 88 kes.
Kes-kes positif kluster ini melibatkan 81 kes bukan warganegara yang terdiri daripada warga Nepal (33 kes); warga Bangladesh (26 kes); warga Indonesia (11 kes); dan warga Myanmar (11 kes).
Kluster baru di Setia Alam
Sementara itu, satu kluster baru dikesan melibatkan pekerja asing di Setia Alam di Shah Alam, Selangor.
Kluster ini dikesan pada 6 Mei 2020, apabila menerima notifikasi dari sebuah hospital swasta yang mendapati tiga kes disahkan positif Covid-19 daripada 5 pekerja yang telah disaring.
Ketiga-tiga kes positif tersebut merupakan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain.
Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes tersebut telah dijalankan.
Sehingga tengah hari tadi, seramai 28 orang telah disaring dan daripada jumlah ini, 12 kes didapati positif di mana kesemua kes ini adalah warganegara Bangladesh.
Sembilan kes pula didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini juga masih di dalam siasatan.

