Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images

Pasukan keselamatan telah memasang pagar kawat berduri di kawasan PJ Old Town di Petaling Jaya berhampiran pasar basah di Jalan Othman.

Seorang pegawai polis yang bercakap kepada Malaysiakini memaklumkan akan ada penutupan jalan dan sekatan jalan berlapis di sekitar kawasan itu.

Setakat berita ini ditulis tengah malam tadi, kawasan yang dipagar termasuklah Pasar Jalan Othman, Seksyen 2 dan Seksyen 4, PJ Old Town.

Terdahulu pasar PJ Old Town telah ditutup pada akhir April setelah seorang peniaga diuji positif Covid-19, yang dikaitkan dengan kelompok pasar borong Kuala Lumpur.

Ujian bersasar yang dibuat kemudian menunjukkan 23 kes positif yang berkaitan dengan pasar PJ Old Town pada 5 Mei, menurut Kementerian Kesihatan.

Tidak jelas sama ada kawasan tersebut akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD) atau tidak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, yang berada di lokasi, enggan memberikan perincian lanjut kepada pihak media ketika didekati.

Ketika dihubungi, hotline Pusat Keselamatan Nasional mengatakan pengumuman akan dibuat kemudian sekiranya kawasan itu bakal diletakkan di bawah PKPD.

Sebelum ini pihak berkuasa juga telah memasang kawat berduri untuk menempatkan dua kawasan di Selayang dan satu di Chow Kit, tanpa mengisytiharkan PKPD, sebaliknya hanya PKP yang diperkasakan.

"Di kawasan-kawasan tertentu, kami memperkasa kawalan secara administratif," kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Lebih daripada 100 anggota polis dan angkatan tentera diperhatikan mengambil bahagian dalam operasi di Petaling Jaya itu.

Beberapa anggota dilihat mengetuk pintu penduduk tempatan ketika sekatan keselamatan sedang dibentuk.

Laporan tambahan oleh Aidila Razak

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS