Bekas juruhebah dan selebriti veteran, Patrick Teoh, direman tiga hari oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berhubung tuduhan dia menghina Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Memetik kenyataan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay portal berita Malay Mail melaporkan Teoh direman mula hari ini sehingga 12 Mei bagi siasatan lanjut.

“Pada Jumaat, polis negeri menerima laporan daripada orang awam mengenai suspek lelaki berusia 73 tahun menghina Tunku Ismail, yang dikenali sebagai TMJ dan institusi raja Johor di Facebook menggunakan nama ‘Patrick Teoh’.

“Bertindak atas laporan polis, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor menahan suspek yang dikatakan sebagai personaliti dan pelakon radio, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam," kata Ayob.

Ayob juga berkata pihak berkuasa merampas komputer riba milik Teoh. Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk proses reman.

Peguam Teoh, Raja Navaratnam, semalam menjelaskan anak guamnya didakwa berkongsi semula video lama Tunku Ismail bersama beberapa orang lain - yang berpakaian tentera - mengendalikan senjata api.

Juruhebah terkenal itu turut didakwa telah menghamburkan kata-kata kasar ketika berkongsi video itu di akaun Facebooknya pada Khamis.

Ayob berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu menggunakan rangkaian secara tidak betul.

Jika sabit kesalahan, seseorang yang didakwa boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga mengingatkan orang awam supaya tidak menyalahgunakan sebarang aplikasi untuk menyebarkan berita palsu yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan sensitiviti individu.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.