Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM sasar kes cuma satu digit dalam seminggu, dua ini

KKM kini menyasarkan meraih satu digit kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu dua akan datang ini susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kita lihat perkembangan terkini, walaupun kita ada tiga kawasan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) dan kluster baru di kenal pasti, kita harap dapat kekalkan jumlah dua angka kes setiap hari.

“Dan sasaran kita kalau boleh kurangkan kes-kes yang telah kita lihat dan mungkin sasaran kita untuk capai satu angka dalam tempoh seminggu atau dua lagi. Insyallah,” kata Noor Hisham dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

PJ Old Town di Petaling Jaya menjadi kawasan terbaru yang diletakkan di bawah PKPD yang mula berkuat kuasa sejak semalam.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini yang melanjutkan PKPB sehingga 9 Jun depan, Noor Hisham berkata petugas barisan hadapan akan terus memantau secara khusus kes-kes baru.

“Kita sekarang telah buka sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal. Setiap hari kita pantau, kes-kes masih terkawal walaupun ada kluster-kluster baru.

“Apa yang kita perlu laksanakan ialah kita lihat setiap hari perkembangan terkini kes-kes baru yang dikesan dan juga sama ada rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelasnya.

Noor Hisham turut menyentuh mengenai berkenaan kluster Setia Alam, berkata proses mengesan kontak rapat berhubung 12 kes tersebut masih berjalan.

“Setakat ini kita telah mengenal pasti kes positif dan ambil tindakan yang diperlukan untuk mengekang penularan.

“Kita nasihatkan mereka yang ada pendedahan pada kes positif untuk tampil ke depan untuk ujian,” katanya lagi.

Noor Hisham turut menjelaskan bahawa Setia Alam tidak perlu diletakkan di kawasan PKPD lagi kerana kesnya masih terkawal dan kekal berjumlah 12 kes.

Beliau turut berkata sebab di sebalik jangkitan di kalangan pekerja asing adalah kerana mereka tinggal secara berkelompok di satu-satu kediaman.

“Kalau lihat (kes) di Selangor Mansion, Malayan mansion dan Menara City One, satu apartment 30 orang duduk.

"Jadi kesesakan dalam rumah mungkin jadikan satu faktor yang merebaknya Covid-19 ini," katanya.

Beliau turut menambah pengesanan kontak rapat juga dilakukan di kluster kilang ayam di Pedas, Negeri Sembilan.

Hasil pendekatan bersasar

Pendekatan bersasar telah menunjukkan kesan positif dalam mengenal pasti kes baru Covid-19, menurut Noor Hisham.

Sehingga semalam, kementerian telah menumpukan kepada lapan kumpulan.

Ia merupakan kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling dan kontak rapat, pelajar dan kakitangan madrasah serta sekolah tahfiz yang mempunyai hubungan dengan kluster Sri Petaling, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara yang diletakkan di bawah kuarantin dan pegawai KKM.

Turut termasuk, penduduk di kawasan PKPD, antaranya di Pasar Borong Kuala Lumpur dan pasar yang berkait, pekerja asing di kawasan pembinaan di zon merah dan warga emas di pusat jagaan.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS