Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua Umno Melaka dilantik PN jadi speaker DUN

DUN MELAKA | Adun Perikatan Nasional (PN) hari ini berkumpul semula dan meneruskan sidang dewan undangan negeri (DUN) tanpa kehadiran wakil pembangkang. 

Mereka kemudian mengundi untuk menyokong Pengerusi Umno Melaka yang juga bekas setiausaha kerja Umno Malaysia, Ab Rauf Yusoh sebagai speaker yang baru.

Ia berlaku hanya kira-kira satu jam selepas sidang DUN ditangguhkan oleh speaker yang dilantik semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Omar Jaafar, ekiran perbahasan panas mengenai usul mengetepikan beliau.

Menurut wartawan media kerajaan - yang dibenarkan membuat liputan sidang berkenaan melalui siaran langsung dari bilik berasingan - sidang itu bermula dengan Adun Rim (Umno), Ghazale Mohamad, bertindak sebagai pemangku speaker.

Beliau kemudian memulakan proses mengundi bagi mendapatkan speaker yang baru.

"Seramai 16 Adun mengundi menyokong pencalonan Ab Rauf sebagai speaker yang baru," kata wartawan berkenaan.

Untuk rekod, hanya media kerajaan dibenarkan membuat liputan sidang hari ini, manakala selain daripada agensi terbabit dilarang.

Pada jam 10 pagi tadi, Omar menangguhkan sidang DUN hanya selepas 30 minit berlangsung apabila berlaku perbalahan di antara beliau dengan bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron (Umno-Sungai Udang) dan beberapa Adun PH.


Baca Sidang DUN Melaka kecoh isu singkir speaker


Ia bermula apabila Idris memberitahu Omar bahawa beliau tidak layak menjalankan tugas sebagai speaker kerana PH tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Melaka.

Kerajaan PH Melaka jatuh pada 2 Mac lalu selepas dua daripada Adun mereka berpaling tadah untuk menyertai PN yang kemudian menguasai kerusi DUN dengan 17 wakil.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. 

Sebelum itu ketua menteri yang baru, Sulaiman Md Ali (Umno-Lendu) mengemulakan enam usul kepada Omar untuk dibahaskan dalam sidang hari ini.

Bagaimanapun empat daripadanya ditolak, termasuk untuk mengetepikan Omar dan melantik penggantinya.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali

Ditemui kemudian oleh media, Sulaiman berkata, untuk menangguhkan sidang DUN seseorang speaker perlu membuat keputusan berdasarkan usul yang dikemukakan.

Hal itu, katanya, tidak berlaku tadi sekali gus bercanggah dengan Fasal 17(5)(a) Perintah Tetap DUN Melaka.

Ditanya sama ada langkah diambil PN itu sah dari segi undang-undang, Sulaiman berkata apabila Omar meninggalkan sidang DUN berkenaan, ia bermakna speaker tidak hadir pada waktu tersebut.

"Ia membolehkan speaker gantian dilantik dan kami terus melantik speaker (baru).

Bukan dalam pengetahuan Rauf

Beliau juga memberitahu, langkah tersebut diambil selepas kerajaan mendapatkan pandangan penasihat undang-undang negeri.

Terdahulu Idris yang ditemui media berkata, kerajaan sudah mendapatkan nasihat pegawai undang-undang negeri mengenai kaedah menukar speaker DUN.

"Caranya ialah membiarkan sidang berjalan sehingga usul (untuk menggantikan speaker) sedia untuk diundi.

"Kalau speaker masih enggan, maka kami akan bawa beliau keluar," katanya sejurus selepas sidang DUN ditangguhkan Omar.

Ab Rauf Yusoh

Sementara itu Ab Rauf menyatakan rasa bersyukurnya atas sokongan yang diberikan Adun PN yang melantiknya menggantikan Omar.

"Mesyuarat telah berjalan dan semua peraturan diikuti," katanya.

Ab Rauf juga menjelaskan DUN melantik Ketua Umno Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad sebagai anggota Dewan Negara.

Bagaimanapun diminta mengulas kekecohan dalam dewan sebelum itu, Ab Rauf enggan memberikan komen.

"Bukan dalam pengetahuan saya," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS