KORONAVIRUS | Perak kehilangan statusnya sebagai satu daripada lima negeri yang bebas Covid-19 selepas mencatatakan kes baru pertama dalam tempoh hampir dua minggu.
Jangkitan terbaru itu dikesan di daerah Manjung, Perak, membabitkan dua individu yang disahkan positif.
Ini bermakna Manjung kini menjadi zon kuning Covid-19.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), zon hijau ialah kawasan yang bebas Covid-19, manakala bagi daerah yang mencatatkan kes sehingga 40 dianggap sebagai zon kuning.
Bagi kawasan melebih 40 pula dilabel sebagai zon merah Covid-19.
Perak sebelum ini merekodkan sejumlah 253 kes positif Covid-19 namun kes tersebut telah diselesaikan.
Sementara itu, Sabak Bernam di Selangor juga telah kembali ke zon kuning setelah mencatatkan satu kes di sana.
Bagaimanapun, Kota Samarahan di Sarawak menunjukkan peningkatan apabila kawasan tersebut yang sebelum ini merupakan zon merah menjadi zon kuning selepas jumlah kes aktif di kawasan tersebut menurun ke 36.
Data itu adalah yang terkini setakat tengah hari semalam.


Secara keseluruhan zon merah menurun satu kepada sembilan berbanding kelmarin, manakala zon kuning meningkat daripada 73 kepada 76.
Untuk zon hijau pula terdapat 116 kes direkodkan berbanding 118 daerah kelmarin.
Kawasan zon merah ialah adalah di Ibu Kota (147 kes aktif), Batu (107), Kampung Baru (73) dan Sri Petaling (45) di Kuala Lumpur; Rembau (130) di Negeri Sembilan; Kuching (85) di Sarawak, Gombak (71) dan Petaling (60) di Selangor dan Kluang (41) in Johor.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
