Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Batu gesa Takiyuddin jelaskan status Dr M di parlimen

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran hari ini menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan untuk menjelaskan status kedudukan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat 18 Mac ini.

Ini kerana menurutnya, Bersatu masih diiktiraf sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat iaitu Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun bekas perdana menteri mengumumkan bahawa beliau akan duduk bersama pembangkang pada sidang Dewan Rakyat kali ini, dia sebagai pengerusi Bersatu yang merupakan parti dalam Perikatan Nasional (PN), masih sebahagian kerajaan.

"Jadi, persoalannya adakah beliau pembangkang atau kerajaan? Kita harap Takiyuddin akan menjawab dalam masa terdekat sebelum sidang Dewan Rakyat akan datang ini.

"Kedudukan Dr Mahathir sangat penting untuk memastikan keutamaan usul undi tidak percaya yang dibawa olehnya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, pada 8 Mei, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Dr Mahathir untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Mohamad Ariff telah membalas notis yang dihantar Mahathir, dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Takiyuddin sebelum ini berkata bahawa usaha pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei mungkin tidak akan terlaksana.

Kata Takiyuddin, hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam sidang selama sehari itu.

Sementara itu, Prabakaran berkata, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk mengetahui secara rasmi kedudukan Mahathir di parlimen nanti.

"Kalau beliau masih ahli Bersatu, maka secara teknikal usul beliau sebahagian daripada kerajaan. Ia perlu diberi keutamaan. Ini yang kita nak tahu," katanya.

Lihat Komen
ADS