Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Situasi tegang sidang DUN Melaka dijangka berulang di Perak esok

Pakatan Harapan (PH) Perak bimbang Persidangan DUN negeri yang akan berlangsung selama sehari esok bakal menyaksikan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) tidak mengikut Peraturan Tetap Dewan dalam memilih speaker.

Kebimbangan itu hadir selepas PN Melaka yang mengadakan sidang DUN hari ini telah memilih speaker mereka sendiri setelah pengumuman persidangan ditangguhkan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Speaker Perak Aminuddin Zulkupli mengesahkan bahawa terdapat usul untuk menggantikan Speaker Ngeh Koo Ham dan beliau sendiri yang telah dihantar ke pejabat speaker.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa usul tersebut gagal memenuhi syarat notis tujuh hari yang dinyatakan dalam Peraturan Tetap Dewan.

Beliau menambah, dewan boleh menolak usul yang bertentangan dengan Peraturan Tetap Dewan.

Aminuddin turut berkata beliau tidak pasti dengan nasib usul yang dibawa oleh PN kerana perkara tersebut diuruskan oleh speaker.

Aminuddin, yang juga merupakan Adun Behrang menasihati PN supaya tidak terburu-buru terhadap usul untuk menggantikan speaker dan timbalan speaker esok.

Ditanya bagaimana untuk mengelakkan kekecohan di sidang DUN Melaka, beliau berkata: "Semua orang boleh mengaku bijak, kerbau pun ada otak kan, apa yang bezakan kita ini maruah, kalau kita ada maruah, kita jaga maruah kita.”

“Kena ada maruah, PN ada majoriti di dewan, jadi nak buat mereka punya hak untuk usul undi pilih speaker, tapi lakukan secara bermaruah,” katanya.

Jelasnya lagi, PN perlu mengambil maklum bahawa rakyat di negeri kini lebih mementingkan isu pandemik Covid-19.

“Saya rasa rakyat tak suka tengok suatu yang kelam kabut, tak manis (setelah apa yang terjadi di Melaka) dalam DUN Perak,” katanya dengan menambah bahawa kerajaan PN harus mengambil perhatian berkenaan isu ini.

Adun PKR Tan Kar Hing pula berkata usul PN itu telah melucutkan hak wakil rakyat untuk menamakan calon mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 4 buku Peraturan Tetap Dewan.

Fasal itu menyatakan bahawa ahli parlimen boleh mengemukakan calon speaker mereka tujuh hari sebelum persidangan dan mereka akan memilih calon itu semasa persidangan, menurut Tan.

“Kita tidak diberi borang untuk memilih calon bagi speaker baru. Speaker dan timbalannya kini masih sah menggalas jawatan tersebut, mereka masih belum dilucutkan,” katanya.

Tan menggesa PN, yang mempunyai 35 dari 59 kerusi di Perak, untuk menukar speaker mengikut buku Perintah Tetap Dewan dan Undang-undang negeri bagi menggelakkan kekecohan pada Sidang DUN di Perak seperti tahun 2009 berlaku lagi.

Beliau merujuk kepada speaker PH yang diheret keluar dalam sidang, tiga bulan selepas BN meruntuhkan kerajaan PH berikutan kekalahan tiga anggota parlimen pada Februari 2009.

“Mungkin bukan situasi sama (speaker diheret keluar) tetapi mungkin akan terjadi sama seperti di Melaka,” katanya dengan meramal bahawa situasi akan menjadi tegang jika PN menyatakan usul tersebut.

“Keadaan akan jadi buruk,” kata Tan.

Ketua pembangkang baru, Abdul Aziz Bari, bagaimanapun mempunyai kepercayaan terhadap Adun Perak kerana beliau tidak dapat membayangkan mereka saling mengggunakan perkataan "babi" sama seperti Adun di Melaka awal hari ini.

“(Adun) Perak (lagi) tertib,” katanya lagi.

Abdul Aziz turut menambah bahawa PN telah membuat kesilapan dengan menghantar borang pencalonan speaker baru tidak mengikuti notis tujuh hari yang dinyatakan dalam naskhah Perintah Tetap.

“(Jika PN berterusan) dia akan jadi satu yang kecoh, apa yang berlaku di Melaka memalukan, imej tak baik,” katanya.

“Saya rasa mungkin satu liabiliti yang akan terpaksa ditanggung oleh PN,” tambah Abdul Aziz.

“Kita hormat majoriti, cuma cara kena betul,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS