Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz kian hilang sokongan, Adun Bersatu Kedah sokong Muhyiddin

Dua Adun Bersatu petang ini mengaku memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) selaras dengan pendirian parti itu di peringkat nasional.

Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Mohd Firdaus Ahmad juga mendakwa tiga lagi Adun Bersatu negeri mempunyai pendirian sama.

"Kita sedia maklum bahawa kerajaan negeri di Kedah sebelum ini adalah berdasarkan gabungan PH dan Bersatu.

"Apabila kerajaan PH hilang majoriti, saya berpendapat kita juga perlu mengikut arus dan arahan daripada parti.

"Saya ada berbincang dengan rakan-rakan (Adun) dan sependapat untuk menyokong pembentukan kerajaan PN selari dengan kerajaan persekutuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mukhriz Mahathir

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan dua lagi Adun yang dikatakan turut beralih arah itu.

Tengah hari tadi, Adun Jeneri Muhamad Sanusi Md Nor, yang difahamkan dicalon untuk jawatan menteri besar, berkata empat Adun Bersatu telah menandatangani akuan berkanun (SD) hilang kepercayaan terhadap Mukhriz Mahathir.

PH Kedah yang Mukhriz hilang majoriti selepas Adun Sidam dan Lunas mengumumkan keluar PKR dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Susulan perkembangan itu, PAS Kedah mengumumkan PN mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baru.

‘Akui tersepit’

Sementara itu, Firdaus turut mengakui keadaan yang berlaku ini membuatnya tersepit dan terpaksa membuat keputusan demi meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Macam saya kalau tak berada dalam kerajaan kita susah untuk berkhidmat kepada rakyat yang sentiasa memerlukan bantuan.

"Kita bukan orang kaya, kalau jadi pembangkang bukan ada peruntukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Wakil rakyat yang kaya tak mengapalah, jadi pembangkang pun ada duit dah," jelas Adun dalam kawasan parlimen Langkawi yang diwakili Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Bukan lari dari perjuangan - Kak Ton

Sementara itu bagi Halimaton, perjuangan beliau adalah bersama parti dan menyokong kepimpinan Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

Senang disapa sebagai Kak Ton katanya, beliau perlu meneruskan khidmat kepada rakyat dan perlu berada dalam kerajaan untuk memudahkan urusan dan penyelarasan bantuan kepada rakyat.

"Sebagai exco kebajikan, Kak Ton begitu dekat dengan rakyat yang di bawah Kak Ton ramai yang susah, dengan ibu tunggalnya, golongan orang kurang upaya yang sentiasa perlu dibantu.

"Kita bukan lari daripada perjuangan tetapi kita mengikut arus dan haluan parti," katanya.

Lihat Komen
ADS