Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
16 kes baru, terendah dalam tempoh 2 bulan
Diterbitkan:  May 12, 2020 5:33 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 16 kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi, iaitu angka terendah dalam masa dua bulan.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes serendah itu adalah sebelum penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bilangan kes terendah seterusnya adalah pada 12 Mac lalu dengan sembilan kes.

Noor Hisham memaklumkan sembilan daripada 16 kes baru hari ini melibatkan warga asing.

"Daripada 16 kes baru yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga kes import dan 13 kes penularan tempatan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Hari juga kali pertama sejak 11 Mac lalu, di mana tiada kes baru berkaitan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling dilaporkan.

Beliau turut memaklumkan seramai 110 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 5,223 kes, iaitu 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,410 kes.

Seramai 16 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baru melibatkan pesakit Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Menurutnya, setakat semalam, pihaknya melakukan sejumlah 17,788 ujian Covid-19 iaitu bersamaan 82 peratus daripada kapasiti 20,635 ujian sehari.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut menyuarakan penghargaan kepada semua jururawat sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini.

"Sambutan tahun ini yang bertemakan A Voice to Lead: Nursing The World To Health memang bertepatan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka yang sentiasa cekal dan tabah menghadapi cabaran penularan Covid-19 di Malaysia," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS