Ikut semangat Malaysia Boleh, kata Dr Noor Hisham
Semangat 'Malaysia Boleh' mampu membantu rakyat Malaysia untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Melahirkan keyakinan terhadap rakyat di negara ini, Noor Hisham berkata beliau percaya rakyat Malaysia akan mematuhi disiplin penjarakan sosial dalam memerangi wabak berkenaan.
"... Tetapi kita perlu cipta sejarah, jika kita ingin berjaya dan mematahkan rantaian Covid-19 di negara ini, kita perlu bersatu.
"Dan jika kita semua, kita letakkan usaha kita, saya yakin kita boleh melakukannya. Malaysia Boleh !" katanya pada sidang akhbar harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya petang ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita apakah beliau yakin rakyat Malaysia mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang tinggi dalam mematuhi semua nasihat kementerian kesihatan mencegah jangkitan Covid-19.
Ini setelah beberapa negara lain termasuk Korea dan China mula merekodkan kes baru Covid-19 selepas langkah kawalan di negara berkenaan dilonggarkan.
Sejak 4 Mei lalu Malaysia memperkenalkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), yang menyaksikan sebahagian besar sektor ekonomi dibenarkan untuk menyambung operasi seperti biasa.
Beberapa jenis aktiviti luaran juga dibenarkan dilakukan oleh orang ramai dan ini berbeza daripada PKP yang diperkenalkan pada 18 Mac.
KKM bimbang satu lagi gelombang Covid-19
Bercakap mengenai kluster jangkitan baru yang dikesan di negara-negara lain, Noor Hisham berkata KKM berkongsi kebimbangan yang sama mengenai kemungkinan satu lagi gelombang wabak berkenaan.
"Kita sama-sama bimbang," katanya.
Tambah beliau, ini adalah sebab mengapa KKM melaksanakan enam kriteria ditetapkan di bawah nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai strategi keluar dalam menangani Covid-19.
Bagaimanapun, Noor Hisham menegaskan tanggungjawab untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal bukan terletak di bahu kerajaan.
Beliau berkata orang ramai perlu mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan supaya rantaian jangkitan virus itu boleh dipecahkan, dan seterusnya menurunkan bilangan kes baru.
"Oleh sebab itu tanggungjawab ini tidak di bahu KKM atau kerajaan, tetapi untuk setiap individu, semua perlu patuh. Disiplin dan tanggungjawab sosial adalah penting bagi semua untuk mematuhi semua SOP yang kita ada.
"Sama ada ada gelombang kedua atau tidak, ini bukan terletak di bahu KKM tetapi orang ramai untuk mematuhi semua SOP."

