Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prasarana umum pelantikan Tajuddin sebagai pengerusi kumpulan
Diterbitkan:  May 13, 2020 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi kumpulan berkuatkuasa 11 Mei.

Dalam satu kenyataan, Prasarana memaklumkan Tajuddin menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, yang meletakkan jawatan pada 7 Mei lalu.

“Lembaga pengarah dan pihak pengurusan Kumpulan Prasarana mempunyai keyakinan penuh atas kewibawaan dan ketokohan Tajuddin untuk memacu program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia yang berkelas dunia, yang diamanahkan kepada kami.

“Pihak lembaga pengarah, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana juga ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zaharah atas segala khidmat beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana,” kata kenyataan itu, hari ini.

Prasarana memaklumkan pelantikan Tajuddin dibuat berdasarkan pengalamannya sebelum ini dalam dunia korporat selain pernah menerajui beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Anggota Parlimen Pasir Salak yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu pernah menjawat jawatan selaku timbalan menteri pertanian dan asas tani antara 2013 dan 2018 di bawah pentadbiran BN.

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (2005 – 2008), pengarah Asia Brands Corporation Berhad (2006 – 2007), pengarah Maju Perak Holdings Berhad (2009 – 2011) dan pengerusi FELCRA Berhad (2008 – 2013).

Tajuddin juga pernah menjadi pengarah urusan Kumpulan kepada syarikat United Assembly (Services) Sdn Bhd, United Straits Fuso Sdn Bhd, Automotive Corporation ( M ) Sdn Bhd dan United Cycles Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS