Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan memukul kepala isteri dan menampar pipi anak perempuannya.

Tertuduh yang berusia 60 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan memukul di bahagian belakang kepala isterinya yang berusia 56 tahun di sebuah rumah di Jalan 29 Desa Jaya, Gombak pada 7 petang, 6 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada tiga anak itu juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan menampar pipi anak perempuannya berumur 33 tahun pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan manakala peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan warga emas dan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Seorang pemandu lori berusia 50 tahun juga mengaku tidak bersalah di mahkamah sama, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isterinya yang berumur 41 tahun di sebuah rumah di Taman Velox, Rawang pada 12.30 petang, 16 April lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A kanun sama.

Nur Shasha Hidayah menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan kes.

- Bernama