Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Presiden PAS, Umno dan Bersatu serah SD pada Sultan Kedah

  • Dikemas kini dengan laporan serahan SD kepada Sultan Kedah.

Dua puluh tiga akuan berkanun (SD) daripada Adun Kedah sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan mencadangkan calon baru menteri besar negeri itu, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Kata Takiyuddin, SD berkenaan diserahkan ketika presiden Umno, PAS dan Bersatu mengadap Sultan Sallehuddin di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, beliau turut hadir dalam pertemuan tersebut.

"Mereka memaklumkan kepada sultan bahawa ketiga-tiga parti bersetuju dengan calon yang dinamakan dalam SD berkenaan bagi menggantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah," katanya seperti dipetik The Star Online hari ini.

Menurut Takiyuddin pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra.

Beliau menambah, langkah menggantikan menteri besar melalui serahan SD kepada sultan diambil kerana ia dianggap lebih wajar berbanding menggunakan kaedah undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Menurut laporan berkenaan, pertemuan tersebut berlangsung kira-kira sejam selepas Mukhriz mengumumkan beliau masih menteri besar Kedah yang sah.

Tunggu lampu hijau

Sebelum ini Perikatan Nasional (PN) Kedah mendahwa sedang bersedia dengan 23 tandatangan SD termasuk daripada empat Adun Bersatu untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Sumber PAS Kedah berkata, kini cuma menunggu langkah selanjutnya untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

"Semua 23 Adun termasuk empat Adun Bersatu sudah tandatangan SD.

"Sekarang tunggu pihak wakil kerajaan negeri mengadap tuanku sultan (untuk maklumkan perkembangan semasa)," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut sumber lagi, pembangkang kini menunggu lampu hijau untuk mengemukakannya kepada pihak istana.

Difahamkan sultan akan berangkat pulang ke Kedah esok.

Semalam media melaporkan PN Kedah mendakwa mempunyai majoriti yang cukup untuk mengambil alih kerajaan Kedah, sekali gus menumbangkan PH yang diketuai Mukhriz Mahathir.

Mukhriz Mahathir

Ia susulan pengumuman dua Adun PKR yang bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Malah, beberapa Adun Bersatu Kedah turut menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan baru yang akan diketuai oleh PAS.

Bagaimanapun Mukhriz, dalam sidang media hari ini, menegaskan beliau masih memegang jawatan menteri besar Kedah, memandangkan tiada pemakluman rasmi dibuat, termasuk kepada pihak istana.

Juhari jamin sokong kerajaan baru

Sementara itu Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat ketika dihubungi berkata, beliau akan akur dengan keputusan untuk menyokong pembentukan kerajaan PN di Kedah.

"Ada orang PAS hubungi saya untuk ambil tandatangan, tetapi kebetulannya saya berada di Kuala Lumpur.

"Tetapi saya memberi jaminan untuk menyokong kerajaan negeri yang baru. Ini kerana kita ikut kepada keputusan parti," katanya.

Juhari Bulat 

Setakat ini termasuk Juhari, dua lagi wakil rakyat Bersatu Kedah iaitu Adun Kuah dan Adun Bukit Kayu Hitam juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka memilih untuk menyokong pembentukan kerajaan PN.

Sebagai rekod kerajaan PN Kedah dijangka diisi dengan kekuatan 15 kerusi DUN milik PAS, dua kerusi BN, dua kerusi bekas Adun PKR dan empat Adun Bersatu.

Lihat Komen
ADS