Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri agama diadukan ke polis kerana didakwa langgar PKP

Sekurang-kurang terdapat lima laporan polis dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Berdasarkan beberapa laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengadu membuat laporan itu berhubung tindakan Zulkifli yang dikatakan mengundang beberapa individu ke pejabatnya di Putrjaya ketika PKP sedang berlangsung.

Laporan berkenaan dibuat di Selangor, Johor dan Kelantan dengan sebahagiannya dibuat awal bulan ini.

Menurut aduan, pengadu antara lain mempersoalkan tindakan Zulkifli mengadakan pertemuan dengan anggota Majis Tertinggi (MT) Umno Fathul Bari Mat Jahya; dua pensyarah universiti, Dr Rozaimi Ramle serta Dr Ahmad Kamilin Jamilin dan beberapa individu lain.

Pertemuan itu dikatakan bagi membincang projek menterjemah kitab yang sedang dirancang. Pertemuan tersebut turut dimuat naik di laman sosial bekas mufti Wilayah Persekutuan itu.

Pengadu yang enggan namanya didedahkan berkata, tindakan menteri agama itu jelas bertentangan dengan peraturan PKP, justeru pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan.

"Gambar yang dimuat naik di Facebooknya jelas menunjukkan mesyuarat berlangsung seperti biasa tanpa menjaga penjarakan sosial.

"Begitu juga ada individu yang datang berjumpa beliau dengan melakukan perjalanan lebih 10 kilometer ketika PKP masih berkuat kuasa.

"Jadi, satu sisatan terperinci perlu dilakukan dan tidak sewajarnya perlu diambil jika beliau didapati melanggar PKP," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysia melaksanakan PKP fasa pertama bermula 18 Mac lalu dan dijadual berakhir 31 Mac lalu bagi memutuskan penularan rantaian wabak Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kemudiannnya melanjut PKP dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.

Pada 28 April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan di sebuah pusat tahfiz di Perak.

Turut dikenakan hukuman sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, serta 13 individu lain.

Pada 5 Mei lalu, anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, didenda RM800 selepas didapati bersalah melanggar PKP pada 20 April lalu. Suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff turut dikenakan denda sama atas kesalahan itu.

NurulHidayah dan suami didakwa melakukan kesalahan itu apabila hadir ke Putrajaya bagi berjumpa Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Malaysiakini cuba menghubungi Zulkifli bagi mendapatkan maklum balasnya, namun sehingga kini masih gagal mendapat sebarang respon.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS