Tiada had dalam pelaporan mengenai pembukaan penggal parlimen pada 18 Mei ini walaupun hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Mengulas gesaan beberapa pihak supaya organisasi media lain turut dibenarkan membuat liputan, Saifuddin berkata, beliau percaya keputusan itu dibuat bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam situasi negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

"Tidak bermakna bahawa ada had untuk pelaporan dibuat. Dalam dunia zaman sekarang setiap orang adalah producer.

"Kementerian tidak terlibat (dalam membuat keputusan itu), tetapi saya tidak fikir ada niat di sebaliknya," katanya sambil menambah sidang tersebut akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lazada Malaysia di Putrajaya hari ini, Saifuddin berkata ahli Dewan Rakyat juga tidak akan duduk seperti biasa bagi mematuhi penjarakan sosial, selain pegawai juga tidak akan masuk ke dewan.

"Ini kerana tempat duduk yang biasa itu tidak mencukupi kerana kita mengamalkan penjarakan sosial, jadi memang ada perkara-perkara yang mempengaruhi mengapa pentadbiran parlimen membuat keputusan itu," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pada Jumaat lepas dilaporkan berkata kehadiran pada hari pembukaan penggal itu dihadkan dengan hanya media kerajaan seperti RTM dan Bernama sahaja dibenarkan hadir.

- Bernama