PAC jemput Samy Vellu hadiri mesyuarat Khamis depan
Terjemahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) berharap Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu akan menghadiri mesyuarat dengan jawatankuasa itu minggu depan.
Terjemahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) berharap Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu akan menghadiri mesyuarat dengan jawatankuasa itu minggu depan.
Mesyuarat tersebut menurut Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad bertujuan menerangkan kepada Samy Vellu peranan dan bidang tugas jawatankuasa berkenaan.
" Surat jemputan rasmi akan dihantar hari ini kepada Menteri Kerjaraya bagi menghadiri mesyuarat pada hari Khamis itu " katanya ketika dihubungi hari ini.
PAC mengadakan mesyuarat tersebut dan menjemput Samy Vellu menghadirinya berikutan tindakan menteri itu menuduh PAC cuba campurtangan dalam urusan kementeriannya dan sering menyusahkan para pegawainya untuk menghadiri mesyuarat bulanan jawatankuasa berkenaan .
"Ini bukan mesyuarat bulanan biasa PAC tetapi satu mesyuarat khas dengan beliau untuk memberi peluang kepadanya menyatakan apa yang silap tentang PAC. Kami juga akan menerangkan kepada beliau tugas dan peranan kami," ujar Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bharu.
Memandangkan mesyuarat khas itu bukannya mesyuarat bulanan PAC, beliau tidak dapat memastikan samaada Samy Vellu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Urusan Parlimen jika tidak menghadirkan diri.
PAC, sebuah jawatankuasa Parlimen yang berperanan untuk memantau dan memeriksa kedudukan akaun dan dana kerajaan mempunyai kuasa memanggil saksi di bawah Peraturan Urusan Parlimen.
Mereka yang tidak menghadirkan diri boleh didakwa menghina Parlimen.
Samy Vellu yang telah mencabar PAC dan Shahrir supaya mendakwanya di bawah tuduhan menghina Parlimen semalam telah juga menegaskan tidak akan menghadiri mesyuarat pada minggu depan itu dan bersedia menghadapi sebarang tindakan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang turut menyifatkan tindakan Samy Vellu itu sebagai tidak wajar dan menggambarkkan mentaliti menteri 'dunia ketiga' yang sering tidak suka diawasi dan dipantau gerak kerjanya.
Dalam kenyataannya Lim berkata, tindakan Samy Vellu menganggap pertemuan dengan PAC sebagai 'membuang masa sahaja' patut diselar.
Menurut beliau lagi, Menteri Kerjaraya itu patut dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen jika beliau terus 'menghalang dan mensabotaj' PAC daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Berita asal

