Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: 36 kes baru, 88 sembuh, tiada kematian
Diterbitkan:  May 15, 2020 5:04 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Terdapat 36 kes baru Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu kepada 6,855 kes, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 28 kes melibatkan warga negara asing.

Beliau juga memaklumkan seramai 88 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah pesakit sembuh kepada 5,439 orang, iaitu 79.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,304 kes," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Jumlah pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula 14 orang, dan lima pesakit daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baru melibatkan pesakit Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 112, iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

'Antara ujian terbanyak di Asean'

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata KKM setakat ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 terhadap 424,306 orang, dengan kadar positif sebanyak 1.62 peratus.

"(Bermakna) bilangan individu yang disaring adalah sebanyak 13 orang bagi setiap 1,000 orang.

"Ini menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang menjalankan ujian saringan Covid-19 yang paling banyak di kalangan negara Asean yang lain," katanya, sambil memaklumkan ujian saringan dijalankan secara bertumpu kepada kumpulan yang dikesan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu.

Menurut Noor Hisham, jumlah ujian itu diperolehi selepas penyeragaman data menerusi Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (Simka) yang dibangunkan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

"Ini pencapaian yang baik berbanding sebelum ini, di mana data dari lapangan dan makmal dilaporkan secara manual," katanya.

Sebelum Simka, data daripada ujian di makmal yang dikendalikan oleh KKM, universiti, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, hospital angkatan tentera dan makmal swasta tidak dilaporkan secara seragam.

"Pemurnian data ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama elbagai pihak termasuk tujuh makmal swasta.

"KKM amat mengharapkan agar kerjasama daripada makmal-makmal ini dapat diteruskan dan semua data yang berkenaan dapat diberikan atas kepentingan negara dalam menghadapi wabak Covid-19," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.



Lihat Komen
ADS