Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerajaan PH Selangor kukuh' - MB tepis khabar angin Adun PKR akan lompat

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menepis khabar angin bahawa sejumlah Adun PKR di negeri itu kini sedang menunggu waktu yang sesuai untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Menyuarakan keyakinannya terhadap para Adun PH di Selangor, Amirudin berkata beliau yakin khabar angin itu adalah percubaan untuk mengalih perhatian daripada masalah yang dihadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Mereka yang buat cerita itu hanya bermimpi di siang hari. Saya yakin dengan sikap para adun kita yang tegas.

"Dalam siaran media yang dibuat bersama pimpinan PH baru-baru ini mereka memaklumkan komitmen kepada dasar dan kerajaan PH di Selangor.

"Saya anggap hal itu hanyalah propaganda murahan semata-mata untuk menggoncang dan mencalarkan kredibiliti kerajaan negeri, malah cuba melarikan (perhatian) daripada kegagalan pihak tertentu melaksanakan tugas semasa menangani wabak Covid-19, atau menutup masalah mereka yang lebih besar kerana tiada kesepakatan dalam kerajaaan PN," katanya.

Beliau diminta mengulas khabar angin yang mendakwa lebih 10 Adun PKR di Selangor sedia meninggalkan PH untuk menyertai PN.

Mereka yang didakwa sedia berbuat demikian dikatakan daripada kem Azmin Ali, bekas timbalan presiden PKR yang menyertai Bersatu pada Februari lalu.

Khabar angin lebih ramai Adun PKR akan menyertai PN di negeri-negeri yang ditadbir PH tercetus terutama setelah dua Adun PKR di Kedah berbuat demikian baru-baru ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa daripada meninggalkan PH Selangor jika mereka berhasrat sedemikian.

"Saya sangat yakin mereka (Adun PH) kekal bersama, tetapi kalau mereka sudah nekad (untuk menyertai PN), saya tak akan halang. Sepertimana pendirian Anwar Ibrahim, ini negara demokrasi.

"Akan tetapi mereka harus memikirkan baik buruk dan kesan langsung (daripada tindakan itu)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS