Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ia satu pembohongan' - Bekas AG bertegas tak pernah setuju tawaran Riza Aziz
Diterbitkan:  May 16, 2020 5:46 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Bekas peguam negara Tommy Thomas menyifatkan dakwaan bahawa beliau setuju dengan penyelesaian dengan Riza Aziz berhubung pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebagai "pembohongan".

Thomas menjawab kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 Mei lalu yang berkata langkah pendakwaan untuk memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu, telah dipersetujui olehnya.

"Ini satu pembohongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Thomas yang membuat keputusan untuk mendakwa Riza pada Julai 2019, berkata peranannya dalam kes tersebut hanyalah melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya.

"Menerusi surat bertarikh 18 November 2019, peguam cara yang bertindak bagi pihak Riza menghantar representasi bertulis untuk memohon semakan semula pendakwaan jenayah terhadap anak guam mereka.

"Maka tiada apa yang mencurigakan (sinister) berkenaan penghantaran representasi oleh peguam cara Riza itu.

"Sama ada saya secara peribadi bertindak untuk bersetuju dengan permohonan mereka atau tidak, adalah isu berbeza. Saya tidak (setuju). Ia semudah itu," katanya lagi.

Riza Aziz

Menurut Thomas, beliau menyerahkan surat itu kepada Gopal untuk disemak dan mengesyorkan maklum balas kepadanya.

"Sehingga peletakan jawatan saya (pada 28 Februari), saya tidak menerima apa-apa nasihat daripada Sri Ram. Maka saya tidak membuat keputusan berkenaan representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya," katanya.

Beliau turut memetik laporan media berkenaan permintaan pihak pendakwaan kepada hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad pada 12 Mac, agar memberi lebih masa bagi membolehkan Pejabat Peguam Negara membuat keputusan terhadap representasi Riza.

Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun dilantik sebagai peguam negara yang baru pada 6 Mac.

"Pada 2 April, peguam Riza, Hariharan Singh dilaporkan berkata beliau masih menunggu balasan daripada Pejabat Peguam Negara berkenaan representasi anak guamnya, dan ketika pengurusan kes pada 14 Mei, hakim Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada pendakwaan jenayahnya, susulan permohonan yang dibuat Gopal Sri Ram.

"Berkenaan fakta yang tak dapat disangkal ini, tiada keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap representasi Riza sehingga 2 April. Ini lebih sebulan setelah saya letak jawatan.

"Maka keputusan untuk menerima representasi Riza, yang membawa kepada DNAA terhadapnya, pastinya dibuat antara 2 April hingga 14 Mei, ketika saya tidak lagi menjadi peguam negara," katanya lagi.

'Jika benar, kenapa DNAA lebih 2 bulan kemudian?'

Dalam kenyataannya, SPRM juga berkata DNAA tersebut dengan syarat Riza memulangkan dana berkaitan 1MDB dan pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

Kata SPRM lagi, kerajaan dijangka mendapat semula aset dari luar negara berkaitan kes tersebut dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

"Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas," kata suruhanjaya itu.

Thomas membidas SPRM kerana mengeluarkan kenyataan itu, dan berkata suruhanjaya itu tahu bahawa ia tidak benar.

"Memburukkan lagi keadaan, setelah saya betulkan kenyataan palsu SPRM pada petang 14 Mei, SPRM memberi respons dengan berkata mereka berpegang dengan kenyataan itu.

"Ini amat mengejutkan kerana SPRM meneruskan pembohongan setelah mereka diberitahu tentang perkara sebenar.

"Ia mencabar kredibiliti bahawa jika cerita rekaan mereka ada sebarang asas fakta, ia bermakna saya membuat keputusan untuk menggugurkan pendakwaan terhadap Riza pada atau sebelum 28 Februari, tetapi keputusan saya hanya dilaksanakan di mahkamah 2.5 bulan selepas itu, dan bukan secepat mungkin iaitu pada 12 Mac," katanya lagi.

Keputusan DNAA terhadap Riza itu mencetuskan kritikan, termasuk daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata bahawa Mahathir bersifat hipokrit dengan mengatakan dirinya tertanya-tanya dan tidak faham dengan keputusan mahkamah itu.

Rafique Rashid Ali, yang sebelum ini pernah menjadi peguam Mahathir, berkata Takiyuddin seharusnya membalas kenyataan itu dengan hujah perundangan.

"Tun jelas dalam kenyataannya bahawa ada kekhuatiran yang mereka yang menggelapkan wang kini boleh memulangkannya dan dilepaskan dengan tindakan yang ringan.

"Barangkali lebih baik jika meneri undang-undang mengukuhkan hujahnya dengan hujah perundangan yang betul," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Lihat Komen
ADS