Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Harga ayam, sayur naik kerana PN gagal jamin keselamatan makanan
Diterbitkan:  May 19, 2020 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Adun Semambu Lee Chean Chung mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menjamin keselamatan makanan sehingga menyebabkan harga ayam dan sayur meningkat di pasaran.

Sebagai contohnya, katanya, di Kota Bharu, Kelantan, harga ayam mencecah RM7 sekilogram berbanding RM3 sekilogram sebelum ini, manakala di Kedah pula, harga sayur seperti cili, tomato, kacang buncis dan daun sup naik antara RM1 hingga RM3 sekilogram.

Katanya, keadaan yang sama dilaporkan di Perak dan Selangor.

Lee berkata, amarannya yang menegur sikap tidak serius kerajaan dalam menangani jaminan makanan negara pada April lalu menjadi kenyataan, memandangkan tiadanya pelan tindakan menggunakan Dana Jaminan Makanan bernilai RM 1 billion.

"Kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rantaian bekalan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) telah mengakibatkan petani mengambil tindakan mengurangkan hasil pertanian.

"Kini, permintaan barangan basah masih sama ataupun akan meningkat menjelang musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa kenaikan kos sewa tanah pertanian di Cameron Highlands sebanyak 500 peratus pada Februari lalu, juga menambah beban petani dan secara tak langsung mengakibatkan kenaikan harga sayur-sayuran.

Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan kemerosotan kuasa beli rakyat, memandangkan ramai yang kini menganggur akibat hilang pekerjaan ataupun gaji mereka dipotong.

Justeru, Lee menggesa kerajaan memandang serius isu jaminan makanan negara, serta mengkaji semula keberkesanan 72 tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) milik negara.

"Kerajaan perlu mengkaji semula keberkesanannya dan tamatkan kontrak sewa pengusaha yang tidak berdaya saing serta tidak mengusahakan tanah itu sendiri.

"Kontrak sewa patut diberikan kepada petani-petani yang tulen bagi meningkatkan pengeluaran makanan," ata Lee yang juga adalah bendahari agung PKR.

Hari ini, Harian Metro melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosol Wahid meminta pengguna tidak memboikot pembelian ayam, sebaliknya memilih tempat untuk membeli bahan mentah itu.

"Nasihat saya, pengguna pilihlah di mana mereka boleh dapatkan bekalan murah. Memang ada, saya sendiri sudah periksa," beliau dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ayam di beberapa negeri, dari RM3 ke RM7 sekilogram di Kelantan: RM6.50 ke RM8.50 sekilogram di Johor; RM4.60 ke RM9 sekilogram di Selangor; dan sehingga RM9.60 sekilogram di Terengganu.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata KPDNHEP akan membuat pengumuman senarai kawalan harga untuk tempoh perayaan hari ini, bagi memastikan kenaikan mendadak harga barangan asas.

Lihat Komen
ADS