Kerajaan Kelantan disaran supaya memperkenalkan insentif pengecualian bayaran bil air kepada penduduk di negeri itu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Cadangan itu dikemukakan oleh Pemuda Amanah Kelantan susulan bayak rungutan yang diterima khususnya mengenai kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan berkata pihaknya dihubungi orang ramai yang menyatakan pandangan agar AKSB di bawah seliaan kerajaan negeri memperkenalkan pengecualian bayaran bil air sepanjang tempoh PKP dan PKP bersyarat.

"Saya berpandangan sebagai negeri yang menjadi sebahagian naungan kerajaan pusat, dan diberikan peruntukan besar berjumlah RM400 juta sebelum ni, maka wajarlah peruntukan itu digunakan untuk meringankan beban rakyat.

"Peruntukan itu diharapn boleh dinikmati oleh rakyat melalui cadangan ini khususnya golongan bawah 40 (B40) yang ramai terjejas akibat penularan wabak Coivid-19," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu katanya, satu surat permohonan supaya cadangan itu dilaksanakan sudah dihantar kepada pihak pengurusan AKSB.

Kata Hazmi, sepanjang tempoh PKP dan PKP bersyarat ini banyak aduan diterima berkaitan masalah perbekalan air di seluruh negeri Kelantan.

"Ramai yang mengadu kualiti air berkarat, buka paip keluar angin dan bekalan air terputus. Rungutan dan aduan ini saya terima secara langsung dan pihak berkenaan juga boleh rujuk kepada rungutan orang ramai melalui media sosial.

"Seterusnya kita berharap dapat melihat sejauh mana komitmen kerajaan negeri dapat menangani masalah air di Kelantan yang sudah berlarutan sejak sekian lama," katanya.