Malaysia mencatatkan 37 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 6,978.

Setakat tengah hari tadi, 31 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,646.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 ialah 1,218 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru yang dilaporkan terdiri daripada dua kes import dan 35 penularan tempatan.

Daripada jumlah itu, katanya, 22 kes melibatkan bukan negara malaysia.

Sebanyak 11 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan satu lagi kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia ialah sebanyak 114 kes.

Kes kematian ke-114 (kes ke-6942) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati.

Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei jam 3.09 pagi.

Sementara itu, KKM hari ini juga memaklumkan bahawa dua kes import terbaru melibatkan warganegara Malaysia yang pulang daripada Singapura.

22 kes baru dikesan di Kuala Lumpur, dengan 14 daripadanya dikesan dalam tiga kluster - pasar Chow Kit (7 kes), Pudu (6) dan pengawal keselamatan Cheras (1).

Sabah dan Selangor masing-masing mencatatkan enam kes baru.

Terdapat dua kes baru yang direkodkan di Pahang dan satu di Johor.

Noor Hisham berkata, jumlah kes baru setiap hari tidak menurun dengan lebih ketara kerana kluster-kluster berkenaan.

Beliau berkata, terdapat dua kluster aktif ketika ini iaitu pasar Chow Kit dan Pudu yang kebanyakan individu dijangkiti Covid-19 adalah warga asing.

Kedua-dua kawasan ini berada di bawah perintah kawalan pegerakan (PKP) diperkasakan yang memerlukan semua penduduk menjalani ujian Covid-19.

Namun, Noor Hisham berkata bahawa jumlah penularan yang melibatkan penduduk tempatan rendah, yang merupakan tanda bahawa langkah pencegahan yang diambil oleh kementerian berjalan dengan baik.

"Sekiranya kita dapat 15 hingga 20 kes (melibatkan penduduk tempatan), maka pasukan kesihatan awam kita dapat menanganinya. Itu lebih penting.

"Jadi kami berharap beberapa hari lagi kami dapat terus mengekalkan dua digit (kes harian). Selagi di bawah 50 (kes harian), saya gembira.

"Tetapi sasaran kami adalah untuk mencapai yang lebih rendah daripada ini. Kita dapat mencapainya jika kita dapat bekerjasama masyarakat mematuhi SOP," katanya.