Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri yaakob berkata aktiviti menziarahi kubur pada Hari Raya seperti lazimnya adalah dibenarkan tetapi orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukannya.

Katanya, ini sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 khususnya semasa pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

“Kerajaan kini sudah banyak memberikan kelonggaran tetapi kita nasihatkan patuhi SOP dan peraturan yang sudah ditetapkan.

“Ziarah kubur ini masih dalam peringkat kita nasihatkan jangan lakukan bukan peraturan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti menziarahi kubur semasa Aidilfitri hanya akan dikeluarkan sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Saya tidak tahu sama ada akan dikeluarkan SOP atau tidak kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat tadi, tetapi seperti kita kata MKN dan KKM boleh sentiasa membincangkan kalau mereka boleh keluar SOP mungkin boleh maklum pada kita, tetapi setakat ini hanya nasihat," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan mendapatkan nasihat daripada KKM dan MKN sebelum mengeluarkan sesuatu SOP atau membenarkan sesuatu aktiviti dijalankan semasa tempoh PKP Bersyarat (PKPB), termasuk pembukaan premis perniagaan gunting rambut.

Gunting rambut

Katanya, beliau menyedari bahawa perkhidmatan gunting rambut memang  mendapat permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri, namu, kerajaan masih belum membenarkannya.

"Saya tahu menjelang hari raya ini, perkhidmatan gunting rambut ini mendapat permintaan yang tinggi.

"Namun, sehingga kini kita masih tidak benarkan ia beroperasi," katanya.

Malah, beliau mengakui bahawa, dirinya sendiri ada menerima permohonan daripada persatuan dan pengusaha perkhidmatan gunting rambut yang turut menyatakan komitmen akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Namun, setakat ini mesyuarat khas menteri belum membincangkan perkara itu dan kekal dengan keputusan sebelum ini masih tidak membenarkan ia beroperasi.

Tetamu Aidilfitri

Ismail Sabri, turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat pemeriksaan di semua kawasan perumahan sepanjang Aidilfitri ini.

Menurutnya, ini bagi memastikan setiap kediaman tidak menerima tetamu lebih daripada 20 orang.

"PDRM dan ATM akan membuat rondaan ketika Hari Raya di setiap kawasan. Jika didapati ada banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan semak kediaman itu untuk mengenal pasti jumlah tetamu.

"Sekiranya ada banyak kenderaan, berkemungkinan ada ramai orang dalam rumah itu, dan polis akan siasat.

"Saya nak ingatkan bahawa PDRM dan ATM akan sentiasa memantau sepanjang Aidilfitri ini bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan kerajaan," katanya.