Jangan tunggu SOP, fikir keselamatan sendiri - Ismail Sabri
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menasihati orang ramai untuk memikirkan soal keselamatan sendiri dan tidak hanya menunggu kerajaan memperkenalkan undang-undang tertentu.
Jelas Ismail, ini kerana apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan, maka prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 juga tidak lagi akan dikuatkuasakan.
“Kalau (wabak berpanjangan sehingga) dua tahun, tak mungkin PKP juga akan kekal dua tahun. Apabila PKP ditamatkan, SOP dan peraturan tak boleh lagi dikenakan pada rakyat negara kita.
“Maka kawalan kendirilah yang melindungi kita.
“Undang-undang tak ada, kita tak boleh saman sesiapa lagi selepas itu,” katanya.
Ismail menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan akan memperkenalkan SOP buat ibu bapa yang membawa anak kecil ke pusat beli belah, serta SOP menziarahi kubur sempena Hari Raya ini.
Oleh hal yang demikian, katanya, kerajaan akan terus memberikan nasihat sewajarnya.
Dalam soal SOP, katanya, secara umumnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan mempunyai kuasa untuk mengubah SOP yang telah diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Contohnya untuk ke kubur, masih dibenarkan. Tapi KKM merasakan tidak boleh, maka dikeluarkan peraturan tidak boleh. Maka tak bolehlah,” tambahnya.
Sementara itu, tentang SOP rumah ibadat pula, Ismail memaklumkan bahawa menteri perpaduan negara akan berbincang lebih lanjut dengan wakil pelbagai agama sebelum membawa semula perkara itu ke mesyuarat MKN.
“Ada pembentangan dari kementerian perpaduan negara, cuma saya tak umumkan lagi, kerana ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi lagi.
“Menteri perpaduan memaklumkan bahawa dia akan jumpa semula pemimpin-pemimpan agama lain selain agama Islam untuk berikan cadangan balas yang dikemukakan mesyuarat pagi tadi,” katanya lagi.

