Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO dakwa wanita ‘bunuh diri’ gara-gara fitnah di Facebook

Sebuah NGO hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung sebuah akaun Facebook yang didakwa membuat hantaran fitnah terhadap seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai membunuh diri akibat rasa malu.

Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, akaun Facebook tersebut 'Jocker Oruvan' kini telah dinyahaktif selepas kematian wanita itu menjadi tular di media sosial.

"Mangsanya seorang rakyat Malaysia berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Dia membuat video 'Tik-Tok' bersama rakan kerjanya yang merupakan seorang warga asing.

"Namun, video tersebut dikongsi oleh laman Facebook 'Jocker Oruvan' yang mendakwa bahawa mangsa mempunyai hubungan dengan warga asing itu.

"Difahami, mangsa meninggal dunia akibat rasa malu selepas menerima komen-komen cemuhan dari warga maya," kata David ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, beliau membuat laporan kepada SKMM bagi pihak keluarga wanita itu, manakala abang mangsa turut membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Kami harap pihak SKMM mengambil tindakan tegas terhadap akaun Facebook ini, yang membuat fitnah terhadap orang yang tidak dikenali sehingga mangsa meninggal dunia.

"Lebih menyedihkan lagi, admin akaun Facebook itu juga tidak layan penjelasan ahli keluarga dan permintaan untuk mengalihkan video tersebut.

"Kami harap SKMM akan melihat kes ini sebagai satu duluan (precedent) untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua akaun Facebook yang membuat fitnah semata-mata terhadap orang lain," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS