Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Amerika nafi dibayar untuk buat video puji Malaysia
Diterbitkan:  May 21, 2020 8:28 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

Seorang doktor gigi Amerika yang memuji langkah kerajaan Malaysia menangani wabak Covid-19 dalam rakaman video yang kemudian menjadi tular, menafikan dakwaan dia dibayar untuk menghasilkan rakaman tersebut.

Video Dr Dustin Pfundheller yang mula diterbitkan 9 Mei lalu, memuji langkah diambil Malaysia dalam menangani wabak itu dan telah dikongsi sekurang-kurangnya 56,000 kali di Facebook dan banyak lagi di platform media sosial yang lain.

Video itu turut dikongsi pada halaman media sosial agensi-agensi kerajaan Malaysia dan beberapa menteri kabinet.

Catatan dari Luar Negara tentang kemampuan Kita Menangani covid19
1/2 pic.twitter.com/Etck90LUk5 & mdash; Saifuddin Abdullah (@saifuddinabd) 10 Mei 2020

Kejayaan video itu mendorong Pfundheller menghasilkan video lain pada 18 Mei mengenai langkah Malaysia menangani Covid-19, menyebabkan spekulasi di kalangan warganet bahawa dia dibayar untuk berbuat demikian oleh kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, Pfundheller, yang mula membuat video dalam talian semasa dalam perjalanan ke seluruh dunia, berkata dia "tidak pernah ditaja".

"Walaupun terdapat banyak sosial media influencer yang mendapat bayaran khususnya untuk membuat sesuatu cerita, adalah salah untuk mengandaikan semua orang yang membuat video dibayar," katanya ketika dihubungi.

Menurut Pfundheller, polisi untuk mengelak daripada membuat kandungan berbayar dinyatakan dengan jelas pada catatan Instagram beliau.

Tambahnya, sebelum mengeluarkan video di Malaysia, dia hanya mempunyai 53,000 pengikut - dan jumlah ini lebih kecil berbanding sosial media influencer yang memiliki jutaan pengikut.

Oleh itu, katanya adalah tidak masuk akal bagi kerajaan Malaysia membayar seseorang yang memiliki sejumlah pengikut yang kecil.

"Kenapa nak bayar seseorang yang mempunyai pengikut yang sedikit ?" soalnya sambil memaklumkan beliau adalah penerbit kandungan sepenuh masa dan bekerja sepenuh masa sebagai doktor gigi.

'Rakyat Malaysia baik kepada saya'

Pfundheller berkata, dia mula menyelidik mengenai langkah kerajaan Malaysia menangani Covid-19 selepas rakyat Malaysia menggalakkan beliau berbuat demikian menerusi ruangan komen di video lain yang dihasilkannya.

Malaysia adalah salah satu daripada 15 negara yang dipaparkan dalam video berasingan mengenai bagaimana negara-negara yang berbeza ini berjuang melawan Covid-19.

Katanya, dia gembira untuk memaparkan mengenai negara ini kerana telah tinggal di Singapura selama enam tahun bersama rakan-rakan dari Malaysia.

"Pembantu pergigian saya adalah orang Malaysia. Saya juga begitu banyak sahabat dari Malaysia dan rakyat Malaysia sentiasa begitu baik kepada saya. Adalah baik untuk menghasilkan video yang mana mereka dapat melihat mengenai Malaysia, "katanya.

Pada Februari lalu, Malaysia menerima pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kesiapsiagaannya dalam menghadapi Covid-19. 

Pada 20 Mei, sekitar 81.4 peratus daripada mereka yang dijangkiti telah pulih manakala 1.6 peratus, atau 114 pesakit meninggal dunia. 

Malaysia menjalankan kira-kira 25,000 ujian sehari - kadar yang setanding dengan Korea Selatan jika dibandingkan dengan bilangan kes yang direkodkan.

Korea Selatan menjalankan 65.44 ujian untuk setiap kes Covid-19, berbanding Malaysia sebanyak 61.90 ujian.

Pada Mei lalu, Malaysia mencatatkan purata 50 kes sehari, termasuk rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan selepas mereka pulang dari luar negara.

Pada waktu kemuncaknya, Malaysia mencatatkan 150 hingga 200 kes sehari, tetapi bilangan ini berkurangan secara mendadak berikutan perintah kawalan pergerakan selama dua bulan yang menyaksikan sekolah, tempat ibadat dan kebanyakan perniagaan ditutup.

Perintah sekatan itu dilonggarkan pada 4 Mei untuk membolehkan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.

Bagaimanapun, perjalanan antara negeri masih dilarang kecuali bagi mereka yang mempunyai kebenaran, manakala sekolah kekal tertutup.

Pengkritik mengkritik keputusan kerajaan baru-baru ini membenarkan pelajar universiti kembali ke kampung halaman mereka, dan membenarkan perjalanan antara negeri dalam keadaan tertentu.

Semalam, seorang pelajar di Kedah didapati positif apabila menjalani ujian saringan sebagai syarat untuk dia kembali ke kampung halamannya di Malaysia Timur.

Semua pelajar kembali Sarawak dan Sabah perlu menjalani ujian Covid-19. Seramai sembilan pelajar didapati positif berikutan ujian tersebut.

Kelantan yang tidak merekodkan kes selama kira-kira sebulan, mencatatkan kes baru semalam membabitkan seorang wanita sarat mengandung yang dibenarkan melakukan perjalanan dari Ampang ke kampung halamannya di Kuala Krai. 

Lihat Komen
ADS