Malaysiakini
BERITA

Larangan rentas negeri, kenapa masih berdegil?

Bernama

Diterbitkan

Peringatan demi peringatan dilontar pihak berkuasa supaya tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Namun, masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan berkenaan dengan mencipta pelbagai alasan untuk pulang ke kampung terutama menjelang sambutan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik pada Selasa lepas, sebanyak 3,212 buah kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung, diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali disebabkan hal kecemasan atau kerja, dan ia perlu mendapat kebenaran PDRM.

Tidak dinafikan memang sukar bagi individu bujang yang berada di bandar menyambut Hari Raya tanpa keluarga, begitu juga ibu bapa di kampung terpaksa menyambut lebaran tanpa anak-anak dan cucu seperti kebiasaannya.

Namun, pengorbanan perlu dilakukan supaya negara bebas daripada pandemik COVID-19 yang sehingga kini belum mempunyai vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangan akan berlaku penularan baharu sekali gus menyebabkan kes COVID-19 meningkat selepas sambutan Aidilfitri sekiranya orang ramai tidak patuh terhadap larangan pergerakan rentas negeri.

"Kalau boleh jangan balik kampung, duduk di rumah dan sambut Aidilfitri secara tertutup serta elak aktiviti kunjung-mengunjung," katanya.

Kes seorang wanita mengandung yang dikesan positif COVID-19 selepas melakukan pergerakan dari Zon Merah di Ampang dekat sini ke kampungnya di Kelantan dalam Zon Hijau, wajar dijadikan ikhtibar oleh semua supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Dr Noor Hisham berkata pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat kes berkenaan. 

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.