Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan gantung perintah kembalikan RM194 juta pada Umno, MCA didengar 19 Jun

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 19 Jun untuk mendengar permohonan kerajaan bagi menggantung pelaksanaan perintah mahkamah yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM194 juta yang disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memberitahu pemberita bahawa tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

Pendengaran permohonan itu pada asalnya ditetapkan pada 31 Mac di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan namun tarikh tersebut telah dikosongkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pendakwaan turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan pelucuthakan itu di Mahkamah Rayuan dalam bulan Februari," kata Mahadi.

Wang itu disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 7 Feb lepas, Mohamed Zaini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang RM194 juta yang disita daripada UMNO, Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.

Beliau membuat keputusan itu atas alasan bahawa wang tersebut tidak boleh dikatakan dengan yakin telah diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada keterangan yang membuktikan bahawa wang itu adalah daripada aktiviti haram.

Permohonan pelucuthakan terhadap UMNO membabitkan wang RM192,965,413.61 dan RM300,000 bagi Wanita MCA manakala Perano, yang menjual hijab dan Binsabi yang membekalkan khemah, masing-masing sebanyak RM337,634.78 dan RM827,250 yang didakwa diterima daripada Najib.

Pendakwaan telah memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap keempat-empat responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

- Bernama

Lihat Komen
ADS