Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Anak saya balik untuk bersalin, bukan sambut Aidilfitri’

Ibu kepada wanita hamil yang positif Covid-19 dari Kuala Krai, Kelantan, mempertahan kepulangan anaknya dan merayu supaya orang ramai tidak terus mengecam tindakan anaknya yang pulang ke kampung.

Norazlina Abdul Rahim, 50, berkata anak perempuannya itu pulang ke kampung bukan untuk sambut Aidilfitri sebaliknya untuk bersalin susulan sedang hamil 35 minggu.

"Tolonglah jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, anak saya pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata menyambut Aidilfitri.

"Menjadi kesukaran untuknya bersalin di Ampang, Kuala Lumpur kerana suaminya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil yang berusia tiga tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang wanita disahkan positif Covid-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Sementara itu Norazlina berkata, anaknya yang berusia 32 tahun mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijangka bersalin pada 19 Jun nanti.

Jelasnya sejak isu anaknya tular di media sosial, ramai netizen yang bertindak mengecam tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.

"Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga nyahaktifkan akaun Facebook. Kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu.

"Saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini anak saya dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Dalam perkembangan itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata wanita berkenaan berada dalam keadaan stabil.

Lihat Komen
ADS