Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jangkitan baru dikesan di Kelantan dan Kedah - dua negeri yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon hijau, iaitu kawasan yang bebas Covid-19.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa satu kes baru di Kelantan melibatkan individu yang merentas negeri dari Ampang, Selangor.

“Kes ini telah balik kampung dari Ampang, zon merah.

“Ketika sampai di rumah, dia datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan kesihatan. Dia hamil 35 minggu dan ingin melahirkan di kampung halamannya.

"Dia diuji untuk Covid-19 dan didapati positif. Dia telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika ditanya mengenai kes tersebut.

Pengesanan kontak rapat sedang dilakukan, kata Noor Hisham.

Bagi kes baru di Kedah, Noor Hisham berkata ia melibatkan seorang pelajar yang baru-baru ini menjalani saringan selepas memohon untuk merentas negeri.

Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan.

"Bagaimana pelajar itu mendapat jangkitan? Kami masih menyiasat.

"Kerana Kedah adalah zon hijau [...] jadi sekarang saya berfikir apakah (kerana) berdekatan dengan rakan-rakan. Kami tidak pasti tetapi biar kami siasat sebelum mengeluarkan sebarang pengumuman,” katanya.

Harian Metro melaporkan bahawa pelajar tersebut merupakan pelajar Universiti Utara Malaysia dan ingin pulang ke Sabah.

Selain dua negeri ini, kementerian sedang menyiasat satu kes baru yang dikesan di Terengganu.

Turut disiasat ialah lapan kes baru (setakat tengah hari semalam) yang dikesan di Kuala Selangor dan juga 11 warganegara Myanmar yang positif Covid-19 setelah mereka dihantar pulang dari Malaysia.

Data awal menunjukkan bahawa kes Kuala Selangor berasal dari kelompok Pasar Borong Kuala Lumpur, kata Noor Hisham hari ini.

Berhubung saringan terhadap warga asing yang ditahan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ditahan di Depot Imigresen Kuala Lumpur, Noor Hisham berkata satu kes baru Covid-19 dikesan hari ini.

"Pejabat kesihatan daerah secara aktif melakukan siasatan dan mungkin kami memerlukan beberapa hari untuk mengenal pasti sumber jangkitan," tambahnya.

Menurut laporan The Myanmar Times semalam, negara itu mencatatkan 11 kes import dari Malaysia - semua pekerja warga asing yang baru dihantar pulang.

Noor Hisham sebelum ini menjelaskan bahawa salah seorang daripada mereka telah ditahan sebelum 18 Mac, iaitu sebelum PKP, sebelum dihantar pulang ke Myanmar.

 


Lihat Komen
ADS