Wanita hamil yang didapati positif Covid-19 di Kelantan, diberi kebenaran daripada pihak polis untuk membuat perjalanan dari Ampang atas sebab-sebab kesihatan.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata wanita itu bertemu dengan beberapa orang saudara-mara dan mempunyai kontak fizikal dalam perjalanan pulang ke kampung.

"Dia nak bersalin di kampung jadi kita benarkan, positif didapati tiba-tiba.

"Kita difahamkan sebelum dia balik rumah dah jumpa pelbagai orang, Keluarga dekat dan jauh, dan pasal dah rindu lama tak jumpa berpelukan satu sama lain," kata Ismail pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Wanita itu adalah kes positif terbaru di Kelantan selepas negeri itu diisytiharkan sebagai zon hijau.

Ismail berkata disebabkan wanita itu didapati positif, seluruh kampung perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, dan kawasan itu dianggap kawasan perintah berkurung walaupun perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) tidak diisytiharkan.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak pasti berapa ramai warga tua dan kanak-kanak terdedah, dan bimbang akan risiko yang mereka hadapi.

Beliau berkata ini merupakan satu peringatan untuk orang lain, agar tidak membuat perjalanan yang tidak perlu jika kembali ke kampung halaman mereka.

Perjalanan antara negeri dihadkan kepada kes-kes kecemasan sahaja, dan Ismail berkata denda akan dikeluarkan untuk mereka yang cuba merentas negeri.

[Baca berita penuh]