Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
20 kontak rapat wanita hamil sudah disahkan negatif Covid-19

Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan 20 kontak rapat wanita hamil yang positif Covid-19 - termasuk anaknya yang baru berusia tiga tahun - negatif dalam ujian saringan yang dilakukan bagi mengesan wabak tersebut.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, bagaimanapun berkata ada seramai 10 individu lain yang mempunyai kontak dengan pesakit berkenaan akan menjalani ujian saringan lain.

"Alhamdulillah setakat ini hanya dia (mangsa) seorang yang positif Covid-19, manakala 20 kontak termasuk anaknya berusia tiga tahun didapati negatif," katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Zaini juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita terbabit - yang pulang dari Ampang, Selangor ke Kuala Krai untuk bersalin anak kedua - mendapat virus berkenaan daripada suaminya memandangkan dia merupakan suri rumah.

Terdahulu beliau ditanya mengenai perkembangan terbaru kes Covid-19 yang dikesan di Kelantan seperti dilaporkan media semalam.

Ia adalah kes baru wabak berkenaan selepas lebih sebulan Kelantan bebas daripada Covid-19.

Mangsa yang hamil 35 minggu itu didapati positif selepas menjalani pemeriksaan rutin di klinik kesihatan.

Sementara itu Zaini menjelaskan, walaupun wanita itu dijangkiti Covid-19, namun dia boleh bersalin secara normal dan tidak perlu kepada pembedahan.

"Selepas bersalin, kita perlu menjalankan ujian ke atas bayi yang turut berkemungkinan dijangkiti. Apapun kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Dalam perkembangan sama Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan, berkata semua individu yang mempunyai kontak dengan wanita hamil berkenaan perlu berada di rumah termasuk ketika sambutan hari raya tidak lama lagi.

“Polis akan memastikan kesemua mereka kekal di rumah dan tidak menerima sebarang tetamu ketika Aidilfitiri.

"Pihak kami akan sentiasa mengawasi pergerakan mereka dengan ketat termasuk menjalankan pemeriksaan di rumah setiap dua jam sekali bagi memastikan mereka sentiasa kekal di rumah," tegasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS