PBB dominasi GPS, parti lain perlu pertimbang keluar pakatan - Baru Bian
Anggota parlimen bebas, Baru Bian mengkritik dominasi dalam pakatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dengan mendakwa bahawa terdapat ketidakseimbangan pembahagian kuasa dalam gabungan itu.
Merujuk kepada kenyataan bersama dari Perikatan Nasional (PN) yang juga ditandatangani oleh GPS melalui Abang Johari, Baru berkata ia jelas menunjukkan bahawa menteri dan timbalan menteri kerajaan persekutuan dari GPS semuanya merupakan ahli PBB kecuali seorang timbalan menteri.
“Jelas ketidakseimbangan pembahagian kuasa dalam pakatan Sarawak yang dipanggil GPS.
“Adakah semua pemimpin GPS berbincang sebelum MoU (perjanjian persefahaman) ditandatangani? Atau adakah yang lain dijangka hanya ikut keputusan abang besar (Abang Johari) PBB?” soal Baru yang merupakan bekas menteri kerja raya yang duduk di kerusi antara PN dan PH sebagai wakil rakyat bebas pada sidang parlimen Isnin lalu.
Selain PBB, anggota GPS yang lain adalah Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif.
Terdahulu, Presiden PRS James Masing, menyatakan bahawa GPS bukan sebahagian daripada PN tetapi hanya bekerjasama dengan pakatan tersebut dengan berkata “Kami adalah PN tambah GPS”.
Baru, yang merupakan anggota parlimen Selangau antara individu yang terlibat semasa “Langkah Sheraton” pada akhir Februari lalu.
Baru pada awalnya keluar dari Pakatan Harapan (PH) bersama beberapa lagi ahli parlimen PKR lain yang diterajui Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, Baru kemudian menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Setakat ini, Baru dipercayai menunjukkan minat terhadap Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti yang tidak berkait rapat dengan GPS.
Baru yang juga merupakan Adun Ba Kelalan berkata kekeliruan GPS dalam MoU yang ditandatangani Abang Johari memberikan banyak persoalan.
“Adakah mereka tidak tahu apa yang mereka tandatangani? Ia merupakan satu kerisauan buat rakyat Sarawak. Kerajaan GPS telah tandatangan perjanjian dengan Petronas – adakah mereka tahu apa yang mereka tandatangani?
“Atau mungkinkah segelintir pemimpin GPS yang bingung itu tidak menyedari kerana seseorang dari mereka hanya menandatangani MoU tanpa persetujuan mereka?” soalnya.
Baru turut menyorot bahawa selepas PRU ke-14, Abang Johari membawa PBB keluar dari BN dan ketika itu mengatakan mereka akan mengalahkan parti berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang, yang dijadual berlangsung menjelang 2021.
“Tetapi pada Mac tahun ini, ketua menteri itu membuat pusingan U dan mengumumkan bahawa GPS akan menyokong kerajaan pintu belakang dalam bentuk PN tambah GPS.
“Iia merupakan kenyataan bahawa GPS membuat keputusan untuk menyokong Umno kembali, setelah dua tahun menjadi anti-Umno, katanya.
“GPS, kamu tidak boleh ambil kek dan makan kek itu (you cannot have your cake and eat it too). Berkongsi katil dengan Umno dan PAS tetapi menegaskan tidak ‘kahwin’ (berada dalam pakatan) adalah satu perkara yang tidak masuk akal bagi rakyat Sarawak," katanya.
Tambah Baru, sudah tiba masanya pihak komponen GPS yang ‘lebih lemah’ menilai kembali secara serius jika mereka masih mahu meneruskan pakatan yang tidak sama rata dengan PBB.

