KKM buat ujian swab di depoh Bukit Jalil, Semenyih
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan ujian swab terhadap hampir 3,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di depoh tahanan imigresen Bukit Jalil dan Semenyih berikutan kes Covid-19 yang dilaporkan di sana.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkongsi perkara ini dalam sidang media harian hari ini, sambil menambah bahawa dua kes Covid-19 telah dikesan di depoh Semenyih.
"KKM sedang membuat saringan kesihatan (ujian swab) untuk keseluruhan 1,200 Pati di depoh Bukit Jalil. Ada 114 pegawai juga telah pun dibuat ujian swab dan mereka didapati negatif.
"Manakala di depoh Semenyih, swab test dilakukan terhadap 1,600 Pati. Di depoh itu, kami dimaklumkan, dua dikesan positif," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa pesakit kluster depoh Bukit Jalil telah ditempatkan di pusat tahanan berkenaan sebelum perintah perintah pergerakan bermula pada 18 Mac.
Ismail berkata, pesakit termasuk 60 dari depoh Bukit Jalil dihantar ke pusat kuarantin di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Namun, kata Ismail, orang ramai tidak perlu risau tentang kluster berkenaan kerana mereka sudah dikuarantin.
"Tak perlu bimbang kerana yang ada dalam depoh tersebut seolah-olah berada dalam pusat kuarantin. Kalau ada yang positif pun, di dalam itu saja.
"Yang kita takutnya mereka (Pati) berada di luar. Kalau di luar, tentu saja akan tular penyakit kepada orang lain," katanya.

