BERITA

Covid-19: 78 kes baru, 63 sembuh, satu kematian

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Mei 2020, 9:22 pagi

Malaysia mencatatkan 78 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,137.

Setakat tengah hari tadi, 63 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,859.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,163 kes.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 78 kes baru yang dilaporkan, 25 kes terdiri daripada kes import dari luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak

115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-115 (kes ke-3616) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Menurutnya, mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 3 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mei pada pukul 2.58 petang.

Pada sidang media itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mempunyai sikap bertanggungjawab semasa menjalankan sebarang aktiviti di luar mahupun dalam rumah, termasuk dalam persiapan sambutan hari raya.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.