Walaupun ramai rakyat Malaysia mungkin mengeluh kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri seperti tahun-tahun lalu, namun ada baik juga untuk menyelami mereka yang perlu bekerja pada hari lebaran.

Antaranya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang pada hari ini secara tidak sengaja mendedahkan bagaimana beliau menyambut perayaan itu saban tahun.

"Setiap tahun, saya menyambut hari raya di hospital. Hari pertama. Selepas solat Aidilfitri, saya akan pergi ke hospital untuk bersama dengan frontliners kita yang berkerja pada hari raya," katanya.

Noor Hisham berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini ketika ditanya mengenai rancangannya pada Aidilfitri.

"Jadi tahun ni tiada bezanya. Saya akan solat di rumah dan selepas itu saya akan juga ke hospital untuk bersama dengan frontliners," jelas beliau.

Sementara itu, Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri.

Beliau juga meminta mereka yang tinggal di zon merah - Rembau di Negeri Sembilan dan Pudu di Kuala Lumpur - untuk tidak meninggalkan kawasan itu.

Pihak berkuasa telah melakukan sekatan jalan raya di jalan raya utama dalam usaha untuk menyekat orang ramai daripada pulang berhari raya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.