BERITA

Pemandu mengamuk langgar lima orang awam

Bernama

Diterbitkan

Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan melanggar dengan keretanya lima orang awam di pekarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, di Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.35 petang, apabila suspek mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya semasa suspek membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Beliau berkata suspek berumur 32 tahun itu mengatakan akan melanggar semua orang awam yang berhampiran di Bukit Sentosa.

“Berikutan itu, suspek mengamuk dan melanggar orang awam di tapak penjaja Persiaran Orkid,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arsad berkata ekoran kejadian ini, lima orang awam dikenal pasti mengalami kecederaan iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

“Dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak perniagaan mengalami kerosakan akibat dilanggar, dan setakat ini juga terdapat lima laporan polis dibuat oleh orang awam iaitu peniaga gerai yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.