Pengguna Lebuh Raya Maju Expressway (Mex) bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus pada hari pertama Aidilfitri, yang dijangka esok.

"Diskaun itu sah untuk semua pengguna dan kelas kenderaan pada hari tersebut bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam," kata Maju Expressway Sdn Bhd dalam satu kenyataan.

"Untuk maklumat lanjut dan informasi trafik terkini, hubungi talian bebas tol MEX di 03-83159111 atau ikuti MEXTraffic melalui Twitter dan Facebook," tambahnya.

Perjalanan rentas daerah masih dibenarkan pada hari raya dengan aktiviti ziarah  dihadkan seramai 20 orang pada satu-satu masa, bergantung saiz sesebuah kediaman.

Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri adalah dilarang dan mereka yang ditahan boleh dikenakan kompaun serta diarah berpatah balik.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 18 Mei berkata, pihak polis dan anggota tentera juga akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa hari raya bagi memastikan SOP berkaitan ziarah dipatuhi.