BERITA

MEF gesa k'jaan ambil langkah drastik bantu majikan kekalkan pekerja

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mei 2020, 12:45 tengahari

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyarankan kerajaan mengambil langkah drastik membantu majikan agar mereka dapat bertahan dan mengekalkan pekerja.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata, dana Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan bantuan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan yang terjejas akibat Covid-19, tidak mencukupi untuk pekerja.

“Kerajaan perlu meningkatkan bantuan kepada majikan supaya majikan terus bernafas dan tidak gulung tikar semasa PKPB dan jumlah bantuan tunai yang disalurkan kepada majikan swasta masih terlalu kecil dan tidak memberi insentif yang sewajarnya untuk majikan mengekalkan pekerja-pekerja sedia ada,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, jumlah bantuan ERP terlalu kecil dan hanya mampu menampung 0.8 peratus sahaja dari jumlah pekerja formal di sektor swasta.

Sebaliknya, beliau berpendapat dana tersebut yang berjumlah RM240 juta itu sepatutnya ditambah lagi bagi menampung pekerja yang kemungkinan besar menghadapi kehilangan pekerjaan, iaitu dianggarkan sehingga dua juta pekerja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan terhadap syarikat dan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya dapat bertahan sewaktu tempoh PKPB.

Semalam, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata kerajaan perlu memastikan jaminan perkerjaan dilindungi ketika kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Daim berkata, banyak syarikat dan perniagaan sedang berjuang untuk terus bertahan, dengan 68 peratus syarikat melaporkan pendapatan sifar selama PKP.

Kurangkan caruman KWSP majikan

Sementara itu, Shamsuddin mencadangkan kerajaan menggunakan wang simpanan negara yang ketika ini menurutnya melebihi RM400 bilion untuk memastikan majikan dan pekerja mampu mengekalkan pekerjaan mereka sepanjang PKPB dan pasca PKPB.

“Walaupun semasa PKPB kebanyakan syarikat dibenarkan beroperasi, tetapi ia hanya dihadkan kepada 50 peratus kapasiti.

“Permintaan oleh pengguna dalam negeri amat lemah kerana pengguna tidak mempunyai keyakinan terhadap masa depan mereka yang dijangka tidak menentu dan lebih gemar menyimpan apa juga wang yang mereka ada daripada berbelanja.

“Syarikat yang mengekspot barangan ke pasaran antarabangsa juga menghadapi keadaan yang sama kerana negara-negara luar juga mengalami keadaan yang serupa di Malaysia.

“Ini adalah masanya untuk kerajaan membantu majikan dan pekerja kerana jika majikan telah gulung tikar memang lebih sukar untuk mereka memulakan semula perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, Shamsuddin juga menyarankan kerajaan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibayar majikan kepada lima peratus.

Jelasnya, dengan cara itu, ia dapat membantu mengurangkan kos perniagaan dan menambah aliran tunai majikan.

Kata Shamsuddin lagi, pekerja yang ditamatkan perkhidmatan akan sukar memperoleh pekerjaan baru kerana kebanyakan majikan sedang melaksanakan polisi pembekuan pengambilan pekerja.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan majikan mampu mengekalkan pekerja,

“Sebagai contoh, kalau majikan ada dana untuk bayar gaji penuh untuk dua bulan sahaja, kita mesti mencari jalan bagaimana untuk membolehkan majikan itu membayar gaji sehingga enam bulan, dengan menggunakan dana yang sama.

“Sudah tentu ia memerlukan peraturan baru di mana majikan perlu diberi kebenaran untuk membayar kurang dari gaji penuh supaya ia boleh terus mengekalkan pekerja untuk tempoh yang lebih lama.

“Adalah amat penting untuk pekerja kekal dalam pekerjaan,” jelasnya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.