Singapura-Malaysia terus bekerjasama tangani Covid-19
Sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama mengatasi tempoh sukar ketika pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan republik itu, Teo Chee Hean.
"Situasi unik ini yang kita alami tahun ini telah mengingatkan kita mengenai keakraban hubungan dengan Malaysia dan bagaimana terjalinnya takdir ini," kata Chee Hean yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dalam laman Facebook beliau semalam.
"Datuk Seri Ismail dan saya telah mengkoordinasi dengan rapat sejak dua bulan lalu mengenai respons Singapura dan Malaysia terhadap wabak Covid-19," katanya merujuk kepada Menteri Kanan Malaysia (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi hantaran yang sama, Chee Hean turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Ismail Sabri.
"Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah masa kebersamaan," katanya dalam hantaran itu yang turut melampirkan sekeping gambar beliau ketika melawat pejabat Ismail Sabri di Putrajaya pada 2016.
- Bernama

